Jumaat, 20 Januari 2012

Skandal NFC: Skop audit perlu telus dan tepati kehendak rakyat

Mohd Rafizi Ramli


KEADILAN menyambut baik langkah melantik firma juruaudit untuk menyiasat dan membongkar penyelewengan dana rakyat yang berlaku di dalam NFC, seperti yang diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri semalam.

Walau bagaimanapun, keberkesanan audit yang bakal dijalankan dan keikhlasan pentadbiran Najib Razak dalam menangani skandal ini akan bergantung kepada skop audit dan bidang kuasa yang diberikan kepada firma juruaudit yang dilantik kelak.

Oleh yang demikian, KEADILAN mencadangkan enam skop utama audit yang memberi kuasa sepenuhnya kepada juruaudit untuk menyiasat sepenuhnya NFC, seperti berikut:

1. Menyiasat proses membuat keputusan di peringkat tertinggi kerajaan untuk memastikan tiada campur tangan politik dalam meluluskan projek NFC serta penganugerahan projek kepada keluarga menteri. Ini termasuklah menyemak semua minit mesyuarat untuk menentukan keterlibatan setiap menteri terbabit serta menilai sama ada projek NFC mempunyai daya komersil untuk dibiayai kerajaan;

2. Menyiasat proses pemberian dana kepada NFC oleh Kementerian Kewangan untuk menentukan ia mengikut prosedur Perbendaharaan dan amalan terbaik (best practices). Ini termasuklah menyemak setiap pengeluaran dana (loan drawdown) untuk menentukan bahawa ia menepati syarat perjanjian dan tidak ada penipuan dokumen semasa permohonan mengeluarkan wang dibuat;

3. Menyiasat setiap perbelanjaan oleh NFC untuk memastikan ia benar dan tepat (true and fair) dengan matlamat penubuhan NFC. Ini termasuklah memastikan bahawa setiap perbelanjaan adalah berpatutan, berpada-pada, diluluskan dan ada kena mengena dengan aktiviti penternakan lembu seperti yang dimandatkan kepada NFC;

4. Menyiasat setiap pemindahan wang keluar dari NFC kepada pihak ketiga untuk memastikan tidak ada unsur penyelewengan. Ini termasuklah menyiasat segala pembelian harta, penubuhan syarikat-syarikat lain, perbelanjaan oleh syarikat-syarikat lain yang ditanggung NFC dan segala operasi oleh pihak ketiga yang ditanggung atau berkaitan dengan NFC;

5. Menyiasat setiap pembelian aset oleh keluarga Shahrizat Jalil bermula dari tempoh kontrak dianugerahkan sehingga sekarang, termasuk pembelian atas nama peribadi untuk menentukan sama ada dana NFC telah digunakan bagi tujuan peribadi; dan

6. Menyiasat setiap pembayaran besar dan berkala oleh NFC dan syarikat-syarikat berkaitan keluarga Shahrizat Jalil untuk menentukan latar belakang pembekal dan individu terbabit yang berurusan dengan NFC. Ini bertujuan memastikan dana NFC tidak digunakan bagi membiayai kegiatan politik Shahrizat Jalil atau mana-mana individu lain.

Saya percaya enam skop audit ini akan memberi peluang kepada rakyat menilai sendiri setakat mana berlakunya penyelewengan di dalam NFC. Ia bakal menguji sama ada Muhyiddin Yassin benar-benar ikhlas menyiasat penyelewengan yang berlaku apabila beliau mengumumkan perlantikan firma juruaudit semalam.

Oleh itu, saya mengesyorkan supaya terma perlantikan dan skop audit diumumkan kepada rakyat apabila lantikan dibuat. Salah satu terma lantikan mestilah mewajibkan juruaudit membentangkan keputusan siasatan dan kesimpulan yang dibuat di dalam sidang Dewan Rakyat yang akan bersidang dalam bulan Mac ini.

Sekiranya kerajaan enggan menerimapakai keenam-enam skop ini, ia bermakna pentadbiran Najib Razak tidak serius mencari penyelesaian kepada skandal NFC yang berlarutan. Jika ia sampai ke peringkat itu, saya bersetuju dengan cadangan Lim Kit Siang dan pendirian kepimpinan PAS bahawa sebuah Suruhanjaya Diraja ditubuhkan
untuk membongkarkan segala penyelewengan yang berlaku di dalam NFC.

*Kenyataan media oleh Mohd Rafizi Ramli (gambar kanan) selaku Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat.

Tiada ulasan: