Isnin, 2 Januari 2012

Shukri perlu matang, jangan berfikiran sempit

Muhammad Faizal


KUALA LUMPUR: Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub (gambar) menyifatkan kenyataan yang dikeluarkan oleh Ketua Polis Perak, Timbalan Komisioner Datuk Mohd Shukri Dahlan yang memberitahu bahawa kecederaan mahasiswa sewaktu Himpunan Menuntut Kebebasan Berakademik (Bebas) disebabkan oleh dirinya sendiri adalah tidak rasional.

Beliau yang dihubungi memberitahu sepatutnya Shukri perlu bersikap matang, bukannya berfikiran sempit, yang mana memang wujud keganasan dilakukan oleh pihak polis.

"Saya rasakan sebagai Ketua Polis Perak, beliau sepatutnya bersikap matang dan berfikiran rasional sebelum mengeluarkan kenyataan sedemikian.

"Memang jelas wujud keganasan yang dilakukan oleh pihak polis, malah ia disahkan dengan kenyataan oleh mahasiswa terhadap apa yang berlaku," jelasnya yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian.

Tambahnya lagi, jika Shukri tidak dapat berfikir secara rasional dalam membuat keputusan, maka beliau sepatutnya diberi rawatan khusus.

"Saya rasakan beliau harus diberikan rawatan khusus jika cara pemikiran sedemikian.

"Kita tidak mahu pihak berkuasa khususnya polis melepaskan kesalahan mereka dengan meletak kepada orang lain.

"Malah sebelum ini pun telah ada kenyataan dari Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) bahawa telah ada wujud keganasan dari pihak polis," sambungnya lagi.

Sementara itu, polis dilaporkan menafikan dakwaan memukul beberapa aktivis mahasiswa semasa menghuraikan demonstrasi aman di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), menegaskan tiada pergelutan berlaku apabila tangkapan dibuat.

Shukri berkata, tindakan perlu diambil demi keselamatan awam dan salah seorang mahasiswa tercedera sendiri.

Tiada ulasan: