Jumaat, 20 Januari 2012

Selangor ikhlas bantu Kampung Baru

Menteri besar berkata, Selangor terlibat secara langsung dengan MAS - lembaga pentadbiran Kampung Baru.



KUALA LUMPUR: Selangor membantu pewaris tanah Kampung Baru di sini dengan ikhlas tanpa sebarang kepentingan, kata Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Katanya, Kampung Baru di bawah pentadbiran Selangor sebelum diserahkan kepada kerajaan pusat setelah penubuhan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada 1974.

Menteri Besar Selangor, katanya terlibat secara langsung dengan MAS – lembaga pentadbiran Kampung Baru.

“Akta ini diwujudkan sejak sebelum merdeka bagi menjaga kepentingan pemilik tanah Kampung Baru.

“Akta ini memberi kuasa kepada kita mempertahankan diri dari akta baru yang tidak sesuai, yang tidak menguntungkan pemilik atau pewaris tanah,” kata Abdul Khalid.

Menteri Besar Selangor itu berkata demikian dalam majlis perjumpaan dengan pewaris tanah Kampung Baru malam tadi yang dihadiri kira-kira 200 orang.

Kemelut muncul apabila parlimen meluluskan rang undang-undang Kampung Baru bagi membolehkan kerajaan membangunkannya secara komersil.

Kain rentang

Rang itu menyebabkan MAS tidak lagi mempunyai kuasa dalam pembangunan Kampung Baru.

Banyak kain rentang dipasang di sekitar kampung sebagai tanda membantah rang tersebut.

Abdul Khalid mengingatkan pewaris tanah supaya menjaga pusaka tersebut.

Katanya, beliau menerima surat dari pewaris tanah Kampung Baru memintanya campur tangan dalam kemelut tersebut.

“Saya akan mengkaji dan mengambil tindakan sesuai untuk membantu mereka. Buat permulaan pejabat menteri besar, PKNS dan Yayasan Selangor akan membuka kaunter khidmat guaman percuma di Kampung Baru.

“Mana-mana pewaris yang tidak faham atau kurang faham mengenai hak mereka boleh datang bertemu peguam kita,” katanya.

Tiada ulasan: