Selasa, 10 Januari 2012

SAPP mahu 40 kerusi DUN Sabah

KL TODAY.COM



Parti Maju Sabah (SAPP) sedang berunding dengan Pakatan Rakyat untuk bertanding dua pertiga daripada 60 kerusi negeri Sabah pada pilihan raya umum akan datang.Dalam satu kenyataan media hari ini, timbalan presiden SAPP Amdee Sidik juga meluahkan sokongan parti itu supaya ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dilantik sebagai Perdana Menteri jika BN ditumbangkan.Katanya, SAPP sedang mengadakan rundingan agihan kerusi dengan parti-parti komponen Pakatan.

“Ahli Parlimen (Sepanggar) Eric Majimbun telah berhubung dengan (Timbalan Presiden PKR) Azmin Ali dan (naib presiden) Tian Chua,” katanya.

“SAPP mungkin bertanding dua pertiga kerusi Dewan Undangan Negeri Sabah, manakala selebihnya oleh Pakatan Rakyat. Bagi kawasan parlimen, Pakatan mahu dua pertiga (kerusi) dan SAPP boleh bertanding yang lain.”

Menurut Amdee, SAPP serius dalam menggulingkan kerajaan negeri yang diterajui oleh BN pada pilihan raya umum akan datang.

Parti Reformasi Negeri Sabah (Star) yang diketuai Jeffrey Kitingan , juga telah menyatakan hasrat parti itu untuk bertanding di semua kerusi.

Satu lagi parti pembangkang yang juga memasang angan-angan menguasai Sabah adalah Barisan Rakyat Sabah yang diketuai oleh Berman Angkap.

Dalam satu kenyataan berasingan, Amdee menjelaskan bahawa SAPP tidak pernah mengadakan rundingan dengan Star untuk membentuk barisan pembangkang.

“Laporan sejak dua hari lalu yang mengatakan bahawa saya mengetuai rundingan bagi pihak SAPP dengan Star adalah tidak benar.

“Apa yang Jeffery umumkan ialah beliau melihat kemungkinan membentuk satu pakatan dengan idea supaya mengukuhkan kuasa pembangkang untuk menumbangkan BN.”

Amdee menekankan bahawa SAPP adalah “kawan” kepada semua parti-parti pembangkang tetapi tidak kepada mereka yang mendakwa memperjuangkan perjuangan untuk rakyat Sabah tetapi pada masa yang sama membantu BN.

Tiada ulasan: