Sabtu, 28 Januari 2012

Saksi NFC akan bekerjasama dengan KEADILAN- Zuraida

Oleh: Ahmad Fadli

KUALA LUMPUR : Saksi penting National Feedlot Corporation (NFC), Datuk Shamsubahrin Ismail akan memberikan kerjasama kepada KEADILAN bagi mendedahkan lebih banyak penyelewengan dalam skandal itu, kata Ketua Wanita KEADILAN, Zuraida Kamaruddin.

Shamsubahrin sebelum ini didakwa menjadi mangsa kambing hitam apabila dituduh merasuah anggota polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang menyiasat kes tersebut.

Beliau hari ini berdepan pula dengan dua pertuduhan di bawah Seksyen 420 dan Seksyen 417 Kanun Keseksaan kerana didakwa menipu seorang pemandu teksi dan kes melibatkan isu membekal pembantu rumah.


“Kita nampak (pertuduhan) ini usaha mendiamkan Shamsubahrin, menakutkan beliau agar tidak memberi kerjasama kepada kita.

“Jadi sekarang Shamsubahrin akan bekerjasama dengan kita dan mendedahkan (skandal NFC) kepada kita,” kata Zuraida.

Beliau berkata demikian selepas menemui Shamsubahrin yang kini dirawat di Hospital Tunku Ampuan Rahimah bersama Naib Presiden KEADILAN, Surendran dan Pengarah Biro Guaman, Latheefa Koya.

Pagi tadi, Shamsubahrin didatangi dua majistret dan timbalan pendakwa raya di wad berkenaan untuk mendakwa beliau atas dua pertuduhan menipu.

Menurut Zuraida, beliau percaya ada usaha dan tekanan dari pihak pengurusan NFC yang mahu Shamsubahrin dikenakan tindakan terhadap pertuduhan lain.

“Ada arahan-arahan dari pihak NFC yang beliau tidak mahu laksanakan, maka beliau diperangkap dan ditangkap.

“Mereka (majistret) tak perlu terdesak begini. Ia boleh dibuat kemudian,” katanya.

KEADILAN sebelum ini mendedahkan Shamsubahrin diberikan cek bernilai RM1.755 juta oleh Pengerusi NFC, Datuk Seri Mohamad Salleh Ismail untuk merasuah polis dan SPRM yang menyiasat NFC.

Beliau bagaimana pun menjadi kambing hitam apabila ditahan atas dakwaan cuba menipu Mohamad Salleh.

Tiada ulasan: