Jumaat, 27 Januari 2012

Rosmah Mansor Dicabar Saman Akhbar Australia

Oleh Mohd Ezli Mashut


SHAH ALAM : Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) mencabar isteri perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor menyaman akhbar Australia, The Sydney Morning Herald yang mendakwa beliau berbelanja sebanyak RM325 ribu sewaktu percutian ke Sydney baru-baru ini, tegas Penyelaras Pusat SAMM, Zulkifli Ibrahim.

Menurut beliau, di atas segala pemborosan yang tidak berkesudahan seorang isteri Perdana Menteri seolah-oleh diselindung dan dihalalkan, rakyat dirayu untuk menolak semua calon BN dalam PRU-13.

"Ini kerana sikap boros, angkuh dan tidak bertanggungjawab mereka, rakyat perlu memberi pengajaran total buat BN selain memberi laluan kepada sebuah kerajaan baru untuk menguruskan kerajaan pusat dengan lebih telus dan bertanggungjawab," katanya dalam kenyataan media.

Sebelum ini, Pereka fesyen Sydney, Carl Kapp turut mengesahkan bahawa Rosmah telah membeli pakaian di butiknya tetapi enggan mendedahkan jumlah pembelian.

"Ia segaligus menyokong dakwaan oleh wartawan Andrew Hornery yang mendakwa Rosmah belanja lebih RM300,000 masa cuti di Sydney.

"Pendedahan tersebut telah dinafikan segera oleh Rosmah dengan alasan yang cukup lemah, sedangkan pendedahan itu perlu dinafikan beserta dengan fakta dan bukti bahawa dakwaan akhbar tersebut memfitnah beliau," kata Zulkifli.

Selain itu, kata Zulkifli, Rosmah juga perlu menjawab mengenai isu kemasukan cincin berharga RM24 juta yang didedahkan pengasas SAMM, Badrul Hisham Shaharin sebelum ini.

"Antara persoalan yang masih tidak terjawab sehingga hari ini ialah, mengapa wujud nama Rosmah yang tertera dalam rekod kemasukan cincin RM24juta di dalam borang Kastam Di Raja Malaysia," soal beliau.

"Namun jawapan yang diperolehi ketika itu amat mengecewakan apabila rakyat hanya disajikan dengan jawapan penafian oleh Rosmah, seolah-olah melepaskan batok di tangga, cukup lemah dan dangkal," katanya.

Tiada ulasan: