Jumaat, 13 Januari 2012

Rasuah polis: Laporan SPRM ke atas suami Shahrizat

Oleh: Sidiqin Omar

SHAH ALAM : Pengerusi NFC yang juga suami Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga & Masyarakat, Datuk Mohamad Salleh Ismail bukan sahaja berbohong, malah merasuah polis dalam skandal berkenaan.

Menurut penyelaras Jingga 13, Fariz Musa, perkara itu didedahkan salah seorang ahli Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah SPRM, Tan Sri Megat Najmuddin Megat Khas melalui satu perkongsian emel bekas pelajar-pelajar Maktab Melayu Kuala Kangsar (MCOBA).


Dalam kiriman emel tersebut, Megat menyatakan dia makan malam bersama peguam yang mewakili Salleh sebelum berlepas ke Chiangmai, Thailand pada malam 22 Disember 2011.

Peguam itu memberitahunya bahawa Datuk Shamsubahrin Ismail, diberikan wang supaya mempengaruhi polis agar ‘kurang kasar’ semasa soal siasat pengurusan NFC.

Shamsubahrin sebelum ini didakwa atas dua pertuduhan menipu Mohamad Salleh, termasuk mendorong beliau menyerahkan cek berjumlah RM1.755 juta.

“Sedih melihat bagaimana seseorang boleh menjadi bodoh apabila sudah tersepit. Ia bukanlah wayang. Sekarang Dato’ NFC kita terdedah kepada dakwaan bersubahat di dalam cubaan merasuah polis.

“Sekarang ini SPRM boleh campur tangan untuk menyiasat, kalau tidak sebelum ini perkara ini adalah urusan polis,” kata Megat yang dipetik dari kiriman emel tersebut.

Justeru satu laporan dibuat di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor, Shah Alam oleh penyelaras ‘Jejak Prihatin’, DK Vickneswaran, salah satu biro dalam pertubuhan Jingga 13.

“Difahamkan jumlah sogokan dibayar dengan cek berjumlah RM1.7 juta melalui Datuk Shamsulbahrin.

“Kami menuntut SPRM menyiasat bukti kukuh ini,” kata Fariz merujuk emel berkenaan.

Menurut Fariz, penipuan kedua oleh Salleh pula ialah apabila dia menyatakan tidak mengenali Shamsulbahrin, orang tengah yang ‘menguruskan’ proses bayaran rasuahnya.

“Berdasarkan emel Megat, terbukti Salleh melakukan rasuah. Bukti ini datang daripada ahli lembaga penasihat SPRM sendiri. SPRM dengan segala kuasanya wajar untuk segera menyiasat perkara ini,” tegas Fariz.

Tiada ulasan: