Sabtu, 28 Januari 2012

Poster warna aibkan Anwar, Ambiga

“Saya percaya perbuatan ini dilakukan oleh Umno dan Perkasa," kata Arjunan.


PETALING JAYA: Beberapa poster berwarna yang bertujuan untuk mengaibkan Ketua Pembangkang Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan Pengerusi Bersih, Dato’ S Ambiga terpapar di beberapa tempat di Kuala Lumpur dan Lembah Kelang.

Berikutan kejadian itu, Ketua Penerangan PKR Kepong, M S Arjunan membuat laporan di Balai Polis Daerah Petaling, Brickfields di sini semalam, meminta pihak polis menyiasat dan menahan serta mendakwa mereka yang terlibat.

Menurut Arjunan, ketika beliau dan Setiausaha Agong Persatuan Kemajuan Pelajar-Pelajar Tamil Malaysia (MATSAP), A Kalaimughilan memasuki simpang jalan ke Taman Sri Sentosa, Jalan Klang Lama, mereka menemui beberapa poster ditampal di tembok di sepanjang jalan tersebut.

“Terdapat dua jenis poster. Poster pertama dengan wajah Anwar tertera tulisan ‘Anwar keldaikan rakyat’, ‘lesbian, gay, bisexual, transex’, ‘Himpunan sex bebas 901’ dan ‘liwat tetap liwat’.

“Sementara poster kedua pula dengan imej Ambiga dengan slogan ‘lesbian, gay, bisexual, trans’ dan ‘undi Ambiga undi sex bebas’.

Kedua-dua poster mempunyai logo Seksualiti Merdeka.

“Saya percaya perbuatan ini dilakukan oleh Umno dan Perkasa (Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia),” kata Arjunan.

Beliau menambah, ini adalah bertujuan untuk mencemar nama baik Anwar dan Ambiga memandangkan peluang kemenangan Anwar adalah tinggi dalam Pilihan Raya Umum ke-13 nanti.

“Sedangkan kes Anwar telah diputuskan tidak bersalah oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur tetapi pihak Umno mahu memalukan Anwar. Saya juga berpendapat Ambiga sebagai seorang wanita tidak seharusnya diperlakukan sedemikian,” kata Arjunan.

Selain Arjunan, Kalaimughilan juga membuat laporan di balai polis yang sama.

Tiada ulasan: