Isnin, 9 Januari 2012

PKR: PDRM beri syarat selepas rundingan di IPK KL



Diatas menyenaraikan syarat-syaratnya, tetapi tandatangan Shamsul menyatakan: Diterima. Kami menyerahkannya kepada pembaca untuk membuat keputusan.



KUALA LUMPUR — Parti Keadilan Rakyat (PKR) membidas kenyataan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohmad Salleh, yang menyatakan PKR tidak menghormati perjanjian yang dipersetujui bersama, dan menyifatkan Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali, sebagai pembohong.

Dalam kenyataan kepada The Malaysian Insider lewat petang ini, Naib Presiden PKR, N. Surendran (gambar), menegaskan, 10 syarat yang dikemukakan PDRM dikeluarkan selepas rundingan dan muafakat antara PKR dan PDRM di Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur Jumaat lalu.

“Sebagai salah seorang dari pimpinan parti yang sama-sama berunding dengan pegawai tertinggi PDRM Kuala Lumpur, saya menegaskan pendirian PKR bahawa muafakat yang dicapai dalam mesyuarat pada hari Jumaat, 6 Januari lalu, tidak menyentuh syarat-syarat yang diberikan oleh PDRM kemudiannya,” katanya.

Malah, menurut Surendran, 10 syarat tersebut hanya dimaklumkan kepada PKR melalui Ketua Angkatan Muda (AMK) PKR, Shamsul Iskandar Mohd Akin, selepas ia diedarkan kepada pihak media melalui satu surat sahaja.

“Tandatangan yang dirujuk oleh pihak PDRM adalah tandatangan Shamsul yang mengesahkan beliau ada menerima surat tersebut,” kata Surendran.

“Namun begitu, ia bukanlah tandatangan menyetujui syarat-syarat seperti digambarkan oleh sesetengah pihak,” tambahnya lagi.

Tambahnya Surendran, walaupun PDRM ada menyuarakan beberapa perkara mengenai kawalan orang ramai dan keselamatan dalam perbincangan tempoh hari, pihaknya ingin menegaskan bahawa tiada sebarang persetujuan mengenai syarat-syarat khusus kerana menurutnya kepimpinan PDRM berpuas hati dengan penerangan PKR.

“Kami tetap yakin bahawa perhimpunan aman ini akan berjalan dengan aman tanpa perlunya syarat-syarat yang dikemukakan pihak polis,” tegasnya.

The Malaysian Insider tengahari tadi melaporkan Mohmad meyelar kenyataan Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali, berikutan kenyataannya menolak 10 syarat yang dikemukakan polis terhadap PKR untuk menganjurkan Perhimpunan 901 Isnin ini.

Menurut Mohmad, persetujuan berkenaan 10 syarat tersebut sebelum ini telah dipersetujui oleh PKR, dan persetujuan berkenaan 10 syarat itu telah ditandatangani oleh Shamsul sendiri.

“Penafian Azmin Ali adalah tidak benar, syarat-syarat yang dikeluarkan adalah atas persetujuan bersama, tidak berlaku penambahan atau pengurangan,” kata Mohmad, dan menegaskan mempunyai foto yang membuktikan Shamsul menandatangani persetujuan menerima syarat tersebut.

Mohmad turut menegaskan, segala penafian Azmin terhadap 10 syarat tersebut merupakan pembohongan daripada PKR.

Tambah beliau, perjumpaan pihak polis dengan wakil PKR Jumaat lalu telah mempersetujui syarat berkenaan, tetapi Azmin di dalam blog dan laporan media semalam membuat kenyataan menolak 10 syarat tersebut.

Pihaknya juga kecewa dengan tindakan Azmin itu dan menegaskan pihak polis tidak akan membuat perjanjian serupa dengan Azmin.

“Buat apa nak jumpa lagi dengan orang pembohong?” soalnya.

Perhimpunan pembebasan untuk Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berikutan keputusan hakim terhadap kes liwat keduanya dijangkakan akan diadakan di kawasan tempat letak kereta Kompleks Mahkamah Jalan Duta.

Sehubungan itu, pihaknya menegaskan, sekiranya kawasan tempat letak kereta tersebut sudah dipenuhi, peserta hendaklah bersurai daripada meneruskan perhimpunan berkenaan.

PKR kelmarin bersetuju dengan cadangan polis untuk mengadakan perhimpunan 901 pada Isnin ini di kawasan parkir kereta di luar Kompleks Mahkamah Tinggi Jalan Duta namun menolak 10 syarat baru yang dikeluarkan pihak berkuasa itu.

Sebelum ini Azmin mengumumkan bahawa Pakatan Rakyat (PR) akan memastikan sejumlah 100,000 rakyat akan turut serta dalam perhimpunan tersebut bagi menunjukkan sokongan terhadap Anwar ketika Mahkamah Tinggi membuat keputusan Isnin ini berkaitan kes liwat keduanya.

Anwar, 64, dituduh telah melakukan liwat terhadap Mohd Saiful Bukhari Azlan di sebuah kondominium di Damansara Heights pada Jun 2008, beberapa bulan sebelum kembali dan memenangi kerusi Parlimen Permatang Pauh.

Sekiranya disabitkan kesalahan, Anwar akan dijatuhkan hukuman 20 tahun penjara, tetapi akan terlepas hukuman sebat kerana umurnya sudah melebihi 60 tahun.

Sepuluh syarat baru yang dikenakan terhadap penganjur perhimpunan itu menurut Azmin bercanggah dengan persetujuan asal yang telah dicapai semasa pertemuan pemimpin PKR dan Mohmad pagi kelmarin.

Tiada ulasan: