Rabu, 18 Januari 2012

Penjelasan NFC patut jadi asas tubuhkan suruhanjaya siasatan diraja

Roketkini.com


SIBU: Penjelasan terbaru National Feedlot Corporation (NFC) yang mempertikaikan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Awam Parlimen (PAC) serta membabitkan peranan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin patut menjadi asas untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI).

Ketua Pembangkang DAP Lim Kit Siang berkata, selain “kisah-kisah seram” mengenai skandal “kondo lembu” RM300 juta, ia juga patut difokuskan kepada peranan dan tanggungjawab Muhyiddin yang mungkin terlibat secara langsung dalam skandal itu.

“Biarkan RCI yang menjawab: Siapa lagi selain Muhyiddin yang patut menanggung semua tanggungjawab berhubung ‘kacau bilau’ NFC di mana objektif projek untuk meninggkatkan peningkatan daging lembu menyimpang dan tidak sampai matlamatnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Muhyiddin pada 2007 memegang jawatan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, yang mana kementerian beliau meluluskan pinjaman RM250 juta kepada NFC ketika itu.

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur berkata RM250 juta dengan 2 peratus pinjaman telah dialihkan bukan sahaja untuk dihabiskan kepada dua kondominium mewah di Bangsar dan Singapura, tetapi juga dalam pelbagai urus niaga lain yang meragukan.

Beliau mengulas kenyataan NFC yang menafikan dakwaan telah menerima pinjaman dana berjumlah RM250 juta oleh kerajaan sebelum perjanjian pinjaman tersebut ditandatangani.

Justeru Kit Siang menjelaskan bahawa kenyataan tersebut mengingatkan rakyat Malaysia bahawa PAC juga bertindak dengan cara yang pelik dalam siasatan skandal “kondo lembu” NFC itu.

“…(PAC) gagal untuk menjalankan siasatan penuh skandal itu untuk dibentangkan laporannya kepada Parlimen pada 12 Mac depan, walau pun skandal itu adalah skandal besar dan utama!” katanya.

Pada November lepas, Pengerusi PAC Tan Sri Azmi Khalid berkata, selepas menyiasat beberapa pegawai Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, pihaknya mendapati bahawa pinjaman dikeluarkan pada 2009 sedangkan kontrak itu dimeterai setahun kemudian, iaitu pada 2010.

Menurut Kit Siang, rakyat Malaysia berhak mengetahui kenapa PAC berkelakuan sedemikian yang mana jelas memberi gambaran bahawa badan itu cuba mengelak daripada menangani isu tersebut.

Beliau juga mahu PAC menyerahkan laporan skandal NFC kepada Parlimen pada 12 Mac depan. – Roketkini.com

Tiada ulasan: