Sabtu, 14 Januari 2012

Pengisytiharan harta EXCO Pulau Pinang secara terbuka

Lim Guan Eng


Semalam, Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah mengisytiharkan harta Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO). Hari ini, Kerajaan Negeri Pulau Pinang dengan rasminya memuat naik maklumat tersebut ke dalam laman web kerajaan http://www.penang.gov.my. Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang memegang jawatan dan amanah awam sebulat suara bersetuju bahawa rakyat mempunyai hak untuk menuntut kebertanggungjawaban penjawat-penjawat awam.

Pengisytiharan harta secara terbuka ini memenuhi amanah peribadi dan juga komitmen politik Kerajaan PR Pulau Pinang terhadap kepimpinan yang lebih bersih berdasarkan prinsip CAT (Cekap, Akauntabel, Telus).

Untuk kali pertama dalam sejarah Malaysia, pengisytiharan harta secara terbuka telah dikendalikan bukan oleh kerajaan negeri tetapi oleh sebuah syarikat audit bebas. Saya berasa kesal bahawa maklumat yang penting ini tidak disiarkan oleh media massa dan blog-blog tertentu, dan berharap bahawa ini akan diperbetulkan.

Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah memilih firma akauntan antarabangsa yang terkenal iaitu KPMG dan rakan kongsi kanannya Akauntan Bertauliah Ooi Kok Seng, untuk mengesahkan dan menetapkan templat yang akan dipaparkan kepada umum. Sebagai sebuah firma audit bebas, KPMG perlu mendukung standard profesional yang tertinggi untuk memastikan pematuhan kepada prinsip-prinsip keobjektifan, kebebasan dan tiada konflik kepentingan sebelum menjalankan apa-apa tugasan.

Saya juga berharap bahawa pihak media boleh menyiarkan maklumat harta kami secara penuh. Saya berasa kesal melihat kekurangan pengetahuan asas dalam kewangan apabila nilai harta-harta disiarkan tanpa menyatakan pinjaman yang telah diambil untuk pembeliannya. Ada juga yang keliru di antara jumlah unit dalam unit amanah (10,000 unit) dengan nilai unit tersebut (RM10,000), kerana jumlah unit dengan nilainya adalah tidak sama. Secara purata, unit amanah mempunyai nilai antara 30 hingga 50 sen seunit.

Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pulau Pinang ingin menegaskan bahawa kami tidak mempunyai apa-apa sumber pendapatan yang lain selain daripada elaun awam sebagai penjawat awam dan wakil rakyat. Jumlah dan angka elaun ini boleh diperolehi daripada Enakmen Anggota Pentadbiran dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Saraan) 1980.

*Kenyataan media oleh Lim Guan Eng (gambar kanan) selaku Ketua Menteri Pulau Pinang.

Tiada ulasan: