Jumaat, 13 Januari 2012

Penggunaan Wang Zakat Untuk Kos Guaman MAIWP Ikut Hukum Syarak, Kata Mufti

ANTARA POS.COM

Post Pic



KUALA LUMPUR : Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menegaskan bahawa penggunaan wang zakat untuk kos guaman dalam kes yang berkaitan dengannya adalah mengikut hukum syarak dan selaras dengan undang-undang yang berkuatkuasa di Wilayah Persekutuan.

Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Wan Zahidi Wan Teh berkata, Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan (JPHSWP) dalam mesyuarat yang diadakan pada 3 September 2009 sebelum ini untuk membincangkan anggaran belanjawan MAIWP 2010 telah meluluskan sebanyak RM205,000 bagi perbelanjaan undang-undang di bawah asnaf fisabilillah.

"Peruntukan ini perlu diwujudkan kerana Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah Persekutuan) 1993 (Akta 55) dalam Bahagian II Perkara 5 (2) menyatakan, majlis boleh mendakwa dan didakwa dengan nama perbadanannya.

"Selain itu, dalam melaksanakan tanggungjawab terdapat keadaan di mana majlis itu terpaksa mendapat keputusan mahkamah seperti dalam kes tuntutan jenazah mualaf yang dituntut keluarga yang bukan Islam," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau membuat kenyataan tersebut ekoran beberapa laporan media baru-baru ini yang menyebut mengenai penyalahgunaan wang zakat oleh MAIWP.

"Mengenai perletakan perbelanjaan undang-undang di bawah asnaf fisabilillah, JPHSWP menerima pakai pendapat ulama yang mentafsirkan asnaf fisabilillah dengan tafsiran yang lebih luas daripada perbelanjaan jihad semata-mata.

"Antara mereka ialah Imam Al-Fakhrul Razi dalam kitab tafsirnya dan Sheikh Rasyid Rida dalam tafsir Al-Manar, dan menurut Sheikh Rasyid pendapat yang benar mengenai maksud fisabilillah di sini ialah segala yang menyentuh kepentingan umat Islam dalam menegakkan urusan agama dan pemerintahan.

"Oleh yang demikian, saya berpendapat tidak terdapat penyalahgunaan dalam isu yang dibangkitkan itu," katanya.

Semalam, Pengarah Komunikasi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nik Nazmi Nik Ahmad mendakwa Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom terbabit dalam penyelewengan wang zakat bagi pembayaran kos guaman beliau.

Beliau turut mendedahkan bukti set dokumen yang menunjukkan Jamil Khir menggunakan wang zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) bagi pembayaran kos guaman dalam kes tuntutan qazaf Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bukti juga mempunyai dokumen yang merupakan surat daripada Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang kepada Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Negara, Datuk Azmi Khalid yang mengesahkan bahawa RM63,650 wang zakat digunakan bagi membayar kos guaman MAIWP.

Nik Nazmi turut menegaskan menegaskan bahawa MAIWP mempunyai peruntukan kerajaan sebanyak RM700,000 bagi menampung pelbagai pembayaran termasuk kos guaman.

Tiada ulasan: