Isnin, 2 Januari 2012

Pemuda PAS Perak simpati mangsa kemalangan

Harakahdaily


MANJUNG: Dewan Pemuda PAS Negeri Perak telah menghulurkan sumbangan kepada semua keluarga mangsa kemalangan maut di jalan Manjung-Lekir malam semalam, bersama Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kawasan Pasir Panjang.

Pemuda PAS Perak diwakili oleh bendaharinya, Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar bersama Pegawai Khas Adun Pasir Panjang, Hamidun Ahmad.

Turut hadir adalah Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Lumut, Badrulhisyam Baharuddin.

Mereka telah berkunjung terus ke rumah ahli keluarga mangsa untuk menyampaikan ucapan takziah dan memberikan sumbangan kewangan untuk meringankan beban keluarga mangsa.

Adun Pasir Panjang, Datuk Seri Ir Haji Mohammad Nizar Jamaluddin yang berada di Negeri Sabah menyampaikan ucapan takziahnya kepada seluruh keluarga yang terlibat.

Dalam nahas ngeri yang berlaku di Kilometer 9.6, Jalan Sitiawan-Teluk Intan dekat Lekir, Seri Manjung itu, meragut nyawa tujuh remaja termasuk dua beradik.

Nahas pada pukul 10.30 malam itu melibatkan dua buah kereta iaitu Honda Stream dan Honda Civic dengan sebuah treler membawa muatan tong gas memasak LPG.

Mereka yang maut ialah enam penumpang Honda Stream iaitu Mohamad Kamil Samsuri, 15; Mohamad Shadan Mohd. Arshad, 15; Mohamad Hadi Sulaiman, 17 dan abangnya, Badrul Isa Sulaiman, 19.

Kesemuanya dari Batu 15 Lekir, Sitiawan.

Turut terkorban ialah Ahmad Faizal Mohd. Termizi, 15, dari Kampung Parit Haji Dollah, Sitiawan; Muhammad Shafik Redzuan Yusof, 16, dan pemandu kenderaan pelbagai guna itu, Mohd. Hisam Mat Zaki, 22, berasal dari Sungai Mekong, Jeli, Kelantan.

Tiada ulasan: