Jumaat, 27 Januari 2012

Pelbagai NGO Bantah Projek Lynas

Oleh Hafizan Taib


SHAH ALAM : Pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) terus menyatakan bantahan terhadap projek pembinaan kilang Lynas di Gebeng, Kuantan, kerana ia dikatakan akan memberi kesan negatif kepada orang ramai.

Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh berkata pendirian dibuat NGO tersebut adalah pendirian yang selari dengan apa dikatakan pihaknya di mana projek Lynas itu tidak seharusnya dibenarkan beroperasi di kawasan berkenaan.

Menurutnya, Majlis Peguam Malaysia (MBC) dan Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) telah menyatakan dengan jelas berhubung perkara itu dan kepentingan awam adalah yang utama yang perlu diberikan perhatian oleh kerajaan mengenai operasi Lynas itu.

Mengulas lanjut, katanya dua NGO anti-Lynas iaitu Safe Malaysia dan Stop Lynas Coalition juga telah menerima lebih 1,000 borang maklum balas daripada orang ramai yang diedarkan sebelumnya dengan pendirian sama.

"Majlis Peguam Pahang adalah sebahagian daripada Majlis Peguam Malaysia yang sejak dari awal tidak bersetuju dan membantah pembinaan kilang Lynas di Gebeng. Ini kerana undang-undang negara kita tidak cukup boleh melindungi rakyat sekiranya berlaku apa-apa malapetaka apabila kilang itu beroperasi kelak.

"MMA juga telah membuat kenyataan yang tegas di mana tahun lepas berkaitan dengan isu keselamatan kepada orang awam kerana dekat dengan tapak pembinaan kilang itu nanti, dalam jarak dua hingga tiga kilometer terdapat ramai penduduk. Jadi MMA bercakap dari aspek kesihatan dan kenapa kilang itu tidak boleh berada di situ," katanya kepada TVSelangor di sini hari ini.

Fuziah berkata, hampir semua NGO tersebut terlibat dalam penyerahan jawapan maklumbalas dikemukakan kepada Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB) hari ini berhubung dokumen dipamerkan bermula 3 Januari lalu.

Dua dokumen dipamerkan AELB adalah satu daripada Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) yang mana merupakan salah satu keperluan bagi kelulusan lesen pengoperasian Lynas tersebut serta satu daripada Lynas mengenai Kes Keselamatan (Safety Case).

Beliau berkata, sewajarnya kilang Lynas itu dibangunkan di satu kawasan yang jauh dari kawasan penempatan penduduk dengan memberi contoh di Australia yang dibina di tengah padang pasir.

"Maka kalau sekiranya habuk dihidu orang ramai ataupun bahan radioaktif itu masuk ke dalam air lalu diminum dan sekiranya ada malapetaka sekali lagi maka orang awam akan merasa kesannya, mungkin dalam jangka masa panjang bahan radioaktif yang tidak diselenggara dengan baik boleh menyebabkan (terjejas) keselamatan dan kesihatan," katanya.

Tiada ulasan: