Sabtu, 28 Januari 2012

Pelbagai acara meriahkan Hari Wilayah Persekutuan

FREE MALAYSIA TODAY

Sambutan bertema 'Rakyat Bersatu, Wilayah Persekutuan Maju' turut diserikan dengan perarakan kereta antik, motosikal berkuasa tinggi dan kontinjen berkuda DBKL.



KUALA LUMPUR: Dataran Merdeka menjadi tumpuan warga kota dan pengunjung ke ibu negara hari ini bagi menyaksikan perbarisan dan
perarakan sempena pelancaran sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2012.

Majlis yang dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak itu menyaksikan perbarisan oleh 94 kontinjen dengan 8,000 anggota mewakili pelbagai jabatan kerajaan, sekolah, institusi pengajian tinggi, badan korporat, badan bukan kerajaan dan bank.

Turut hadir pada acara yang bermula 8.30 pagi tadi ialah isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor dan Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin.

Sambutan kali ini yang bertemakan ‘Rakyat Bersatu, Wilayah Persekutuan Maju’ bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan

Putrajaya turut diserikan dengan perarakan kereta antik, motosikal berkuasa tinggi dan kontinjen berkuda Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Sempena sambutan itu, Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar bersama DBKL, Perbadanan Putrajaya, Perbadanan

Labuan, Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan serta Majlis Sukan Wilayah Persekutuan menyediakan ‘buah tangan’ untuk warga Wilayah Persekutuan.

Ia termasuk pemberian diskaun atau potongan terhadap kompaun, sewaan percuma untuk kemudahan sukan dan dewan serbaguna, kupon percuma dan diskaun ke tempat-tempat awam, diskaun untuk bayaran cukai tanah serta pengurangan tunggakan denda dan sebagainya.

Tidak jauh dari Dataran Merdeka, Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan pula menganjurkan program Lebuh Seni Kuala Lumpur selama dua hari bermula hari ini sempena sambutan itu.

Kira-kira 30 gerai pameran dan jualan produk kraftangan, lukisan, barangan antik dan terpakai, buku, CD lama, piring hitam, aksesori wanita dan makanan tradisi menjadi antara tarikan program itu.

Program yang diadakan di Jalan Mahkamah Persekutuan, bersebelahan Bangunan Sultan Abdul Samad itu turut diserikan dengan persembahan jalanan berbentuk muzik, nyanyian, tarian, ‘human statue’, badut dan ‘buskers’. Bernama

Tiada ulasan: