Sabtu, 21 Januari 2012

Pelakon drama ditangkap dipercayai penagih dadah

MALAYSIA KINI

Seorang pelakon lelaki drama bersiri 'Roda-Roda Kota Raya' ditangkap polis selepas dipercayai terbabit dalam penagihan dadah di sebuah rumah inap desa di Felda Chini 2, Pekan, Pahang.

Ketua Polis Daerah Pekan Supt Yahaya Othman berkata pelakon berusia 39 tahun itu dan rakan lelakinya berumur 30 tahun, ditangkap jam 8.30 malam semalam.

"Berdasarkan maklumat, pihak polis memecah masuk bilik di homestay berkenaan, dan setelah diperiksa polis menjumpai dadah jenis syabu anggaran seberat satu gram di atas meja di bilik berkenaan," katanya kepada Bernama hari ini.

Katanya berdasarkan ujian air kencing, kedua-dua mereka juga didapati positif penyalahgunaan dadah.

Beliau berkata kedua-dua lelaki itu ditahan reman selama lima hari.

"Kedua-dua mereka kini ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Pekan dan kes itu disiasat di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Sementara itu, seorang pelakon drama televisyen mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini terhadap tuduhan mencuri barang solek di sebuah pusat beli-belah dua minggu lepas.

Mazni Mahmud, 20, dituduh mencuri tiga bedak padat, tiga pengilat bibir dan beberapa barangan lain bernilai RM246.40 di Pasar Raya Carrefour Sri Petaling di sini pada jam 9.30 malam 7 Januari.

Dia dituduh mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 10 tahun atau denda jika sabit kesalahan.

Majistret Mohd Azali Ibrahim menetapkan 22 Februari ini sebagai tarikh sebutan kes dan membenarkan wanita itu diikat jamin RM700 oleh seorang penjamin.

Cif Inspektor Nom Phot Prackdit bertindak sebagai pegawai pendakwa manakala Mazni tidak diwakili peguam.- Bernama

Tiada ulasan: