Jumaat, 20 Januari 2012

PAS desak MAIWP mohon maaf guna wang zakat

"Kes tersebut dinafikan di Mahkamah Syariah dan dibicarakan di Mahkamah Sivil, adakah itu dianggap sebagai mempertahankan kedaulatan Islam," kata Nasrudin.



KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) hari ini mendesak Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) membuat penjelasan dan memohon maaf secara terbuka kepada rakyat terutamanya masyarakat Islam berhubung penggunaan wang zakat bagi kes tuntutan qazaf.

Ketua Pemuda Nasrudin Hassan Tantawi berkata walaupun wang zakat boleh digunakan bagi tujuan mempertahankan kedaulatan Islam, namun wang itu digunakan bagi tujuan kes qazaf menentang Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dan tiada kaitan langsung dengan kedaulatan agama.

“Kes tersebut dinafikan di Mahkamah Syariah dan dibicarakan di Mahkamah Sivil, adakah itu dianggap sebagai mempertahankan kedaulatan Islam,” katanya dalam memorandum kepada MAIWP.

Memorandum tersebut diserahkan DPPM kepada Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP Ismail Porjo di Wisma MAIWP di sini hari ini.

Beliau turut mempersoalkan mengenai kenyataan Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) yang merujuk kenyataan Mufti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Datuk Wan Zahidi Wan Teh bahawa penggunaan wang zakat kes guaman adalah dibolehkan demi mempertahankan kedaulatan Islam.

Penggunaan dana zakat itu melibatkan wang sejumlah RM63,650 bagi membayar wang pendahuluan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom yang menghadapi kes tuntutan qazaf.

Sehubungan itu Nasrudin menegaskan isu penggunaan wang zakat bagi tujuan kos guaman adalah suatu kesalahan dan merupakan penyelewengan yang besar dan mengkhianati kepercayaan rakyat.

Katanya, isu ini boleh mengakibatkan timbulnya prejudis umat Islam apabila wang zakat tidak disalurkan kepada pihak yang sewajarnya layak menerima bantuan tetapi boleh digunakan sewenang-wenangnya oleh individu yang berkepentingan.

“Kita tidak akan bersekongkol dengan kemungkaran yang berlaku dan menjadi tanggungjawab kami untuk membantah tindakan ini bagi kepentingan agama Islam dan umat Islam di negara ini,” katanya lagi.

Namun Jamil Khir berkali-kali menafikan dakwaan pihaknya menyalahgunakan wang zakat sebaliknya hanya menyatakan menggunakan wang dari peruntukan kerajaan dan menegaskan bayaran itu sudah dipulangkan semula.

Tiada ulasan: