Sabtu, 28 Januari 2012

PAS dan Anwar ucapkan syabas buat Zunar

Harakahdaily,

KUALA LUMPUR: PAS dan Ketua Umum PKR yang juga Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah kepada kertunis Zunar atau nama sebenarnya Zukefli Anwar ulhaque atas pameran kartun solonya di London.

(Zunar akan adakan pameran solo di London Februari ini)

"Syabas saya ucapkan buat Sdr Zunar kerana akan mengadakan pameran kartun-kartun politik di London pada bulan Februari depan bertemakan "To Fight Through Cartoon" (Berjuang Melalui Kartun)," kata Anwar dalam kenyataannya.

AJK PAS Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad juga mengucapkan tahniah atas pencapaian Zunar kali ini.

Sebelum ini, Malaysia berbangga dengan persembahan nyanyian oleh Datuk Sudirman Arshad dan Datuk Siti Nurhaliza di London.

Kejayaan Zunar mendapat tempat untuk membuat pameran solo di kota besar ini juga tentu membanggakan negara.

Pameran tersebut akan berlangsung selama satu bulan di Free Word Centre, 60 Farringdon Road, London.

Sebanyak 80 karya-karya kartun yang menyentuh isu politik, rasuah, penyalahgunaan kuasa serta pelanggaran hak asasi di Malaysia akan dipamerkan.

Ucapan penghargaan juga buat Artikel 19, sebuah badan bukan kerajaan yang memperjuangkan kebebasan bersuara kerana menganjurkan pameran ini dan tahniah buat rakyat Malaysia di United Kingdom yang bertungkus lumus menjayakannya, kata Anwar.

"Saya difahamkan tema "Berjuang Melalui Kartun" dipilih oleh penganjur kerana kartun-kartun politik Sdr Zunar ternyata mendapat kekangan dan tekanan dari pemerintah Malaysia," kata Anwar.

Pada Julai 2010, kerajaan mengharamkan tujuh buku-buku kartun beliau dengan alasan kandungannya menjejas ketenteraman awam.

Selain tu, pejabat Zunar di Brickfeilds, Kuala Lumpur sering diserbu pihak berkuasa dan buku-bukunya turut dirampas.

Manakala itu kilang pencetak diugut agar tidak mencetak buku beliau atau menghadapi risiko kehilangan lesen.
Kedai-kedai di seluruh negara juga diberi amaran agar tidak menjual buku-buku beliau.

Pada September 2010, beliau ditangkap dan dimasukkan ke dalam lokap di bawah Akta Hasutan namun dibebaskan atas arahan mahkamah.

"Buat Sdr Zunar dan seluruh seniman, teruskan perjuangan anda semua, teruskan berkarya dan jangan sesekali tunduk menyerah kepada penguasa yang zalim serta rakus," kata Anwar.

Tiada ulasan: