Khamis, 12 Januari 2012

Nik Nazmi tampil Bukti Salahguna Wang Zakat MAIWP.

Syukri Hamzah

alt

KUALA LUMPUR – Satu laporan polis akan dibuat esok oleh Pengarah Komunikasi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nik Nazmi Nik Ahmad berhubung isu penyalahgunaan wang zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) yang dinafikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Jamil Khir Baharum selama ini.

Nik Nazmi yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Setia di dalam sidang medianya hari ini turut menampilkan bukti-bukti dakwaan penyalahgunaan wang tersebut.

“PKR memandang serius penyalahgunaan institusi penting umat Islam ini. Oleh itu hari ini saya tampil dengan bukti-bukti salah guna wang zakat MAIWP yang dinafikan oleh Jamil Khir,” kata Nik Nazmi.

“Pertama ialah set dokumen daripada MAIWP sendiri termasuk baucer bayaran bernombor 2010B04112 bertarikh 29 April 2010 sebanyak RM32,150.00. Baucer tersebut secara terang merakamkan kumpulan wang yang digunakan merupakan kumpulan wang zakat.

“Kedua merupakan surat daripada Ketua Audit Negara Tan Sri Dato’ Setia Ambrin Buang kepada Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Negara Datuk Seri Azmi Khalid yang mengesahkan bahawa RM63,650 wang zakat (iaitu bayaran pertama sebanyak RM31,500 pada 9 Februari 2010 dan RM32,150 yang tercatat di dalam baucer tersebut) digunakan bagi membayar kos guaman MAIWP,” tambah beliau.

Menurut Nik Nazmi, Jamil Khir berkali-kali menegaskan bahawa MAIWP mempunyai peruntukan daripada kerajaan sebanyak RM700,000 bagi menampung pelbagai pembayaran termasuk kos guaman.

Namun Laporan Ketua Audit menyebut bahawa MAIWP hanya memulangkan wang tersebut pada Disember 2010, kira-kira enam bulan selepas peruntukan tersebut disalurkan ke dalam MAIWP. Jamil langsung tidak menyebut tentang hal ini.

Beliau turut membetulkan laporan akhbar Utusan Malaysia pada 4 Januari lalu yang memetik Bahagian Hal Ehwal Korporat Jabatan Audit Negara bahawa isu salahguna zakat ini tidak dilaporkan di dalam Laporan Ketua Audit Negara 2010.

Katanya, PKR tidak pernah mendakwa demikian, sebaliknya mereka merujuk kepada surat Ketua Audit Negara kepada Jawatankuasa Kira-Kira Negara seperti tertera.

“Saya akan membuat laporan polis esok 11 pagi di Balai Polis Dang Wangi berkaitan dengan kes salahguna wang zakat ini kerana kami memandang serius penyalahgunaan institusi penting umat Islam ini,” katanya.

Tiada ulasan: