Khamis, 19 Januari 2012

Nik Aziz harap exco baru terjemah visi PAS


MALAYSIA KINI
Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Aziz Nik Mat berharap pelantikan ADUN Sijangkang Dr Ahmad Yunus Hairi sebagai exco kerajaan Selangor yang baru dapat menterjemahkan misi perjuangan PAS dalam pentadbiran kerajaan Pakatan Rakyat di negeri itu.

Sambil mengucapkan tahniah kepada Dr Ahmad Yunus - yang memegang portfolio adat resam Melayu, belia dan sukan - Nik Aziz yang juga mursyidul am PAS turut berharap pelantikan tersebut akan "lebih memberi manfaat kepada umat Islam di negeri itu".

NONE"Tahniah saya rakamkan kepada YB Dr Ahmad Yunus Hairi, ADUN Sijangkang, Selangor yang telah mengangkat sumpah sebagai exco kerajaan negeri Selangor bagi menggantikan (Datuk) Dr Hasan Ali pada pagi ini.

"Semoga perlantikan beliau akan lebih memberikan manfaat kepada umat Islam di Selangor khususnya dan menterjemahkan misi perjuangan PAS di dalam pentadbiran kerajaan Pakatan di Selangor, Insya-Allah," kata Nik Aziz (atas) di laman sosial Facebooknya.

Dr Ahmad Yunus yang juga seorang doktor hari ini dilantik menjadi exco kerajaan negeri Selangor yang baru bagi menggantikan bekas pesuruhjaya PAS negeri dan ADUN Gombak Setia Dr Hasan yang digugurkan dari jawatan tersebut minggu lalu.

Dr Ahmad Yunus mengangkat sumpah di hadapan Sultan Sharafuddin Idris Shah di Istana Bukit Kayangan di Shah Alam bagi menggantikan Hasan yang dipecat dari PAS pada 8 Januari lalu susulan tindakannya yang menyalahi dan merugikan parti itu.

Pemuda: Kukuhkan kesepaduan Pakatan

Sementara itu, Ketua Pemuda PAS Selangor Hasbullah Mohd Ridwan (bawah) pula berharap pelantikan Dr Ahmad Yunus akan mengukuhkan lagi kesepaduan Pakatan di negeri itu demi mempertahankan kerajaan daripada dirampas "secara kotor" oleh Umno-BN.

NONE"Pakatan Selangor memperkukuh dan memperkasakan pengupayaan jentera di semua peringkat bagi menyelamatkan rakyat Selangor daripada terus dimomokkan dengan dakyah dan fitnah Umno-BN," katanya dalam satu kenyataan.

Sambil mengucapkan tahniah kepada pengamal perubatan itu, Hasbullah mendoakan semoga Dr Ahmad Yunus akan melaksanakan amanah ini dengan penuh rasa tanggungjawab dan Pemuda PAS negeri sedia untuk menghulurkan bantuan sekiranya diperlukan.

Menurut Hasbullah, pihaknya amat bersyukur kerana proses pelantikan berlangsung dengan lancar dan penuh muhibah.

Tiada ulasan: