Ahad, 8 Januari 2012

NGO BANGSA SUNGAI TENTANG 901





Oleh : SHAIMON S JUMADI Foto : FAIRUL ZAMAN


DUA Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Sukau dan Gum-Gum, Datuk Mohd Saddi Abdul Rahman dan Datuk Hj Zakaria Hj Eddris yang mewakili Persatuan Bangsa Sungai Sabah (SABAS); merangkumi 30 sub-etnik suku kaum Sungai membuat laporan polis di Balai Polis Bandar Sandakan pagi kelmarin bagi membantah perhimpunan “Kempen Bebaskan Anwar 901” yang bakal diadakan di ibu negara pada 9 Januari ini.

Kata Zakaria, tindakan parti pembangkang khususnya para penyokong Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk mengadakan perhimpunan tersebut akan mencetuskan pertumpahan darah dan menjejaskan kestabilan negara.

Berikut isi kandungan penuh laporan polis No Report SKN/RPT/0279/2012;

“Persatuan Bangsa Sungai Sabah (SABAS) yang merangkumi 30 sub-etnik suku kaum Sungai di negeri Sabah membantah keras tindakan pihak yang bercadang mengadakan perhimpunan ‘Kempen Bebaskan Anwar 901” di ibu negara pada 9hb Januari ini’.

Perhimpunan itu hanya akan mencetuskan pertumpahan darah dan menjejaskan kestabilan negara. SABAS merayu kepada pemuda-pemudi terutama sekali ahli SABAS agar jangan terlibat dengan kempen Bebaskan Anwar 901. Kempen tersebut merupakan kempen berbahaya dan boleh dianggap sebagai satu bentuk ugutan kepada sistem kehakiman negara.

Kempen ini lebih bersifat untuk kepentingan peribadi dan secara dasarnya memperlekehkan sistem perundangan negara. Perhimpunan jalanan bukannya satu cara penyelesaian yang bijak malah mengakibatkan kesan negatif yang sangat serius terhadap imej negara kita.

Kita telah mendengar dan melihat keadaan hura hara di Negara luar akiibat daripada kempen-kempen seumpama ini yang mengakibatkan keadaan hura-hara dan ketenteraman yang tidak stabil.

Laporan polis ini dibuat agar pihak berkuasa mengenakan tindakan tegas terhadap penganjur Kempen sedemikian dengan seberapa segera kerana tindakan mereka itu boleh mengancam ketenteraman dan keharmonian Negara.”

Dalam sidang media yang diadakan di hadapan perkarangan Balai Polis Sandakan sejurus selepas laporan dibuat, Zakaria menjelaskan tindakan pihak pembangkang berbuat demikian telah melanggarkan tatatusila rukun negara yang boleh menimbulkan pelbagai kejadian yang tidak diingini.

Kata Zakaria lagi, biarlah undang-undang yang menentukan nasib Anwar jika beliau di pihak yang benar, tidak perlu bimbang atau takut. Sebaliknya jika dia dapati bersalah, kita kena menerima hakikat yang dia bersalah wajar dihukum.

“Kita tidak boleh bertindak dengan sesuka hati tanpa memikirkan implikasinya dan jadilah parti pembangkang yang sihat agar disenangi oleh rakyat jelata dan bukan menjadi satu parti yang berunsur militant,” ujarnya.

Tiada ulasan: