Jumaat, 13 Januari 2012

Najib: Masalah penduduk selesai jika BN berkuasa


Shah Alam — Datuk Seri Najib Razak hari ini berjanji segala masalah penduduk di Selangor akan selesai sekiranya rakyat memilih perikatan tersebut untuk memerintah selepas pilihan raya umum ke-13 depan.

Perdana Menteri (gambar) berkata demikian ketika Majlis Sepetang Bersama Rakyat di Rimba Jaya, Seksyen 16, di sini.

“Segala masalah penduduk di Selangor termasuk masalah sampah sarap, air dan sebagainya akan selesai sekiranya kerajaan BN memerintah negeri ini,” katanya yang sudah melakukan tiga lawatan dalam sebulan ke Selangor dalam usaha yang dilihat sebagai usaha menawan kembali kerajaan negeri daripada Pakatan Rakyat (PR).

Sebelum itu, Najib mengadakan lawatan “walkabout” ke Kompleks PKNS Shah Alam bagi mendengar keluhan peniaga-peniaga yang menghadapi masalah tekanan kenaikan kadar sewa sebanyak seratus peratus oleh kerajaan negeri.

Lawatan Najib ke Selangor hari ini turut menyaksikan mesyuarat tertutup beliau dengan ketua Pusat Daerah Mengundi Selangor di Intekma Resort.

Dalam lawatan ke PKNS, Najib turut berjanji akan menyelesaikan masalah peniaga-peniaga di berkenaan bahawa tidak akan berlaku sebarang kenaikan kadar sewa di kompleks berkenaan sekiranya Barisan Nasional (BN) menguasai kerajaan negeri selepas pilihan raya akan datang.

Malah, Najib turut berjanji akan berbincang dengan Kementerian Pelancongan supaya mewartakan kompleks berkenaan sebagai Kompleks Warisan demi menarik kemasukan pelancong ke Shah Alam.

“Ada cadangan daripada peniaga supaya kerajaan pusat mengambil alih kompleks ini daripada kerajaan negeri, namun begitu, agak sukar untuk kerajaan pusat membantu peniaga-peniaga di kompleks PKNS ini sekiranya kerajaan negeri masih lagi di bawah Pakatan Rakyat, mereka akan tetapkan pelbagai syarat yang ketat kepada kerajaan.

“Adalah lebih mudah sekiranya kita kuasai kerajaan negeri dan kita akan ambil alih komples PKNS ini untuk dibangunkan,” katanya dan disambut jeritan sokongan daripada peniaga-peniaga di kompleks berkenaan.

“Sekarang kita mengalami zaman gelap, kita makan ubi kayu, tapi selepas semboyan dibunyikan, saya berjanji kita akan makan nasi minyak,” katanya lagi dan mengharapkan peniaga-peniaga di kompleks PKNS berkenaan bersabar dan membuat keputusan bijak dalam pilihan raya umum ke-13 akan datang.

Penduduk di kawasan Rimba Jaya turut dijanjikan peruntukan untuk membina surau dan kuil untuk aktiviti keagamaan masyarakat di sini.

Selain itu, Najib turut mempertimbangkan kaedah dan cara untuk mengatasi masalah pinjaman untuk penduduk setinggan di kawasan tersebut yang tidak mampu membuat pinjaman perumahan untuk berpindah ke kawasan pangsapuri berkenaan.

“Saya bukan berjanji, tetapi saya minta penduduk beri saya masa untuk memikirkan penyelesaian terbaik untuk membantu mereka yang tidak mampu membuat pinjaman perumahan,” katanya lagi.

Tiada ulasan: