Jumaat, 13 Januari 2012

Najib: Kadar sewa kompleks PKNS kekal jika BN perintah


SHAH ALAM — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini berjanji kepada peniaga-peniaga di Kompleks PKNS Shah Alam bahawa tidak akan berlaku sebarang kenaikan kadar sewa di kompleks berkenaan sekiranya Barisan Nasional (BN) menguasai kerajaan negeri selepas pilihan raya akan datang.

Malah, Najib (gambar) turut berjanji akan berbincang dengan Kementerian Pelancongan supaya mewartakan kompleks berkenaan sebagai Kompleks Warisan demi menarik kemasukan pelancong ke Shah Alam.

“Ada cadangan daripada peniaga supaya kerajaan pusat mengambil alih kompleks ini daripada kerajaan negeri, namun begitu, agak sukar untuk kerajaan pusat membantu peniaga-peniaga di kompleks PKNS ini sekiranya kerajaan negeri masih lagi di bawah Pakatan Rakyat, mereka akan tetapkan pelbagai syarat yang ketat kepada kerajaan.

“Adalah lebih mudah sekiranya kita kuasai kerajaan negeri dan kita akan ambil alih komples PKNS ini untuk dibangunkan,” katanya dan disambut jeritan sokongan daripada peniaga-peniaga di kompleks berkenaan.

Menurut Pengerusi Persatuan Peniaga PKNS, Amran Yahya, peniaga di Kompleks PKNS mengalami masalah yang berat ekoran kerajaan negeri menetapkan kadar kenaikan kadar sewa sehingga seratus peratus kepada peniaga-peniaga di kompleks berkenaan yang majoritinya Bumiputera.

“Kami sudah berjumpa Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang, tapi masih tiada lagi sebarang jawapan diberikan.

“Peniaga di sini bersyukur kerana perdana menteri sudi mendengar keluhan kami kerana kami sudah buntu menghadapi masalah tersebut,” tambah Amran.

Menurut Najib lagi, kadar kenaikan sewa yang ditetapkan kerajaan negeri adalah terlalu tinggi walaupun kadar berkenaan adalah antara yang terendah jika hendak dibandingkan dengan sewa di kompleks-kompleks perniagaan yang lain.

“Saya faham masalah peniaga-peniaga di sini, oleh itu, sekiranya anda (peniaga-peniaga) di sini sudah berputus asa dengan pihak sebelah sana (Pakatan Rakyat), buatlah keputusan yang bijak apabila semboyan dibunyikan kelak,” tambah Najib.

Jelas perdana menteri, sementara itu, kerajaan akan mengusahakan cara yang terbaik untuk mengurangkan beban yang ditanggung peniaga di kompleks perniagaan yang tertua di Shah Alam itu.

“Sekarang kita mengalami zaman gelap, kita makan ubi kayu, tapi selepas semboyan dibunyikan, saya berjanji kita akan makan nasi minyak,” katanya lagi dan mengharapkan peniaga-peniaga berkenaan bersabar dan membuat keputusan bijak dalam pilihan raya umum ke-13 akan datang.

Tiada ulasan: