Isnin, 23 Januari 2012

Muafakat: Kekalkan kampung tradisi Melayu hanya janji manis BN

Hazayani Zakaria,

KUALA LUMPUR: Majlis Permuafakatan Perkampungan Tradisi Melayu Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (Muafakat) menyeru penduduk Kampung Puah tidak terpengaruh dengan janji manis Perdana Menteri untuk mengambil kira pandangan penduduk dalam pembangunan kampung tersebut.

Pengerusinya, Ishak Surin (gambar) berkata, janji sedemikian merupakan janji yang sudah biasa dibuat sejak dahulu lagi bagi mengambil hati dan meredakan kemarahan penduduk, sedangkan mempunyai agenda tersembunyi di sebaliknya.

"Setiap kali perdana menteri atau menteri buat lawatan, itulah janji yang dibuat mereka tapi keadaan tetap sama, tanah tetap dapat kepada pemaju, yang hilang kampung tradisi rakyat," kata beliau kepada Harakahdaily, hari ini.

Datuk Seri Najib Razak dalam lawatannya ke Kampung Puah semalam memberi jaminan bahawa status kampung itu sebagai sebuah perkampungan tradisi Melayu akan dikekalkan.

Najib seprti dilaporkan merdia berkata, beliau telah mengarahkan Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berunding dengan syarikat pemaju, Aamin Development Sdn Bhd, supaya mengambil kira hasrat penduduk dalam merangka pembangunan.

Ishak Surin berkata, tidak ada gunanya Najib memberikan jaminan tersebut sedangkan tanah yang sepatutnya menjadi milik peneroka sudah diserahkan kepada pemaju.

"Penduduk Kampung Puah mahu tanah mereka dikembalikan kerana mereka yang bersusah payah meneroka tanah itu sehingga mejadi perkampungan," katanya.

Justeru Yang Dipertua PAS Kawasan Batu itu mendesak kerajaan menubuhkan satu dana untuk membangunkan kampung tersebut tanpa diserahkan kepada pemaju.

"Untuk membangunkan kampung Puah tak perlukan pemaju sebaliknya kami mahukan dana khas. Muafakat sendiri sudah mempunyai kepakaran untuk membangunkan kampung tersebut, asalkan tanah itu kekal menjadi milik peneroka," katanya lagi.

Pada 13 Ogos 2001, Unit Perancangan Ekonomi (EPU) mengemukakan surat kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memaklumkan kelulusan prinsip untuk melaksanakan pembangunan secara penswastaan antara DBKL dan Aamin Development Sdn Bhd untuk melaksanakan projek pembangunan di tanah seluas 12.8 hektar di kampung itu.

Kampung lain yang terlibat dalam projek pembangunan melibatkan pembinaan antara lain unit kediaman dan pusat perdagangan bercampur itu ialah Kampung Puah, Kampung Puah Bahagian dan Kampung Chubadak Jaya, membabitkan 564 keluarga.

Sementara itu, mengulas mengenai pemberian RM 2.5 juta kepada sekolah jenis kebangsaan cina semalam, Ishak mempersoal pembinaan Sekolah Kebangsaan Sri Perak di Sentul yang sudah lama terbengkalai.

"Kita ucap tahniahlah di atas pemberian itu tapi bagaimana dengan Sekolah Kebangsaan Sri Perak? Sign board projek sudah lama naik tapi pembinaan masih belum berjalan," katanya.

Pembinaan sekolah tersebut sudah hampir sudah hampir dua tahun terbengkalai.

Oleh yang demikian, sekolah sementara masih beroperasi di bawah flat Sri Perak.

PAS Batu pernah menghantar memorandum bantahan kepada Nong Chik sebelum ini dan akan menyerahkan memorandum sekali lagi dalam waktu terdekat.

Tiada ulasan: