Jumaat, 13 Januari 2012

Mohd Zain: Perlu ada ‘satu hati’ antara Selangor dan Putrajaya


SHAH ALAM — Pengarah Jentera Pilihan Raya Barisan Nasional (BN) Selangor, Datuk Seri Mohd Zain Mohamed menegaskan terdapatnya keperluan untuk menyatukan pentadbiran Putrajaya dan Selangor, memandangkan negeri itu adalah negeri premier untuk mencapai sasaran Wawasan 2020.

Mohd Zain berkata, sekiranya BN berjaya menawan Selangor dalam pilihan raya umum yang dijangkakan berlaku dalam masa terdekat ini, Putrajaya akan memastikan transformasi yang direncanakan kerajaan dapat diterjemahkan secara menyeluruh.

“Selangor merupakan pusat bagi kawasan Lembah Klang, negeri premier untuk Wawasan 2020, untuk itu, perlu ada satu hati antara Putrajaya dan Bangunan SUK Selangor.

“BN akan pastikan pengalaman pahit dahulu tidak akan berulang lagi, jentera pilihan raya Selangor telah bersiap sedia untuk menghadapi pilihan raya akan datang,” tegasnya kepada pemberita di majlis pertemuan perdana menteri dengan Ketua Pusat Daerah Mengundi (PDM) di sini.

Tambah Mohd Zain, Selangor adalah negeri “winnable state” untuk BN, dengan syarat adanya kesatuan dan penyatuan daripada seluruh jentera pilihan raya.

“BN melihat Selangor sekarang menghadapi banyak masalah, daripada masalah air, sampah sarap, dan rungutan daripada peniaga-peniaga Bumiputera.

“Pentadbiran Pakatan Rakyat dilihat mempunyai kecelaruan,” tambahnya.

Jelas Mohd Zain, pentadbiran BN Selangor sudah bersedia dan menurutnya, jentera parti sudah bersatu hati menghadapi pelbagai kemungkinan.

“Apa pun hasilnya, apabila calon pilihan raya dimuktamadkan, jentera parti akan tetap memberikan sokongan penuh sebagai penentu kemenangan BN Selangor,” katanya lagi.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Umno Selangor, Datuk Seri Noh Omar menasihatkan jentera parti agar mengutamakan parti daripada kepentingan peribadi.

“Jentera parti harus bekerja keras, dengan meletakkan kepentingan parti lebih utama daripada kepentingan peribadi, itu perkara yang dapat mengukuh dan menguatkan parti,” kata Noh yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani.

Tambahnya, pertemuan antara DPM dan perdana menteri itu turut menyaksikan semua peserta berkobar-kobar untuk menawan Selangor selepas tewas kepada pembangkang pada 2008.

“Daripada nasihat yang diberikan tadi, saya melihat jentera dan DPM parti dilihat berkobar-kobar untuk mengukuhkan kedudukan BN di negeri ini,” tambahnya.

Pertemuan antara Perdana Menteri dan Ketua Pusat Daerah Mengundi itu turut dihadiri oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, dilakukan dalam keadaan tertutup dengan penyertaan sejumlah 1,300 orang termasuk, 894 ketua PDM.

Perdana Menteri turut dijangka menunaikan solat Jumaat di Masjid Negeri dan seterusnya bersama rakyat Selangor di Kompleks PKNS Shah Alam sebelum merasmikan majlis “Sepetang Bersama PM” di Rimba Raya Seksyen 19 Shah Alam dan lawatan ke kuil dan majlis pecah tanah tapak surau.

Tiada ulasan: