Jumaat, 13 Januari 2012

Menara kembar: PAS bidas cara fikir kerajaan Terengganu

Zulkifli Sulong,

KUALA TERENGGANU: PAS membidas cara pemikiran kerajaan negeri Terengganu yang terus berfikir untuk membuat projek mega ketika rakyat sangat memerlukan kemudahan asas di negeri ini.

Pesuruhjaya PAS Terengganu, Mohamad Abdul Wahid Endut (gambar) berkata, cadangan membina menara berkembar di muara Sungai Terengganu sebagaimana yang dicadangkan Menteri Besar, Datuk Ahmad Said sangat tidak wajar.

"Kita bukan perlukan projek mega atau mercu tanda baru...Yang kita perlu urus tadbir yang baik.

"Kalau kita bina bangunan tinggi tanpa urus tadbir yang baik, nanti roboh, sebagaimana runtuhnya stadium tu, apa akan berlaku?" kata beliau kepada Harakahdaily.

Wahid yang juga anggota Parlimen Kuala Terengganu mengulas pengumuman Ahmad Said yang memberitahu, Terengganu akan mempunyai bangunan berkembar 30 tingkat di muara Sungai Terengganu dalam masa dua tahun dari sekarang.

Jun tahun lalu, kerajaan negeri Terengganu pada dasarnya bersetuju untuk membina menara berkembar setinggi 30 tingkat di kawasan zon strategik seluas 16.2 hektar di bandar raya ini.

Menara berkembar itu bakal menempatkan Yayasan Terengganu (YT), Yayasan Islam Terengganu (YIT) dan Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK) di bawah satu bumbung.

Namun semalam Ahmad mengumumkan, bangunan itu adalah untuk Majlis Bandaraya Kuala Terengganu dan satu lagi untuk apartment.

Sebelum ini, Terengganu mempunyai stadium yang serba hebat iaitu Stadium Sultan Zainal Abidin di Gong Badak, namun ia telah runtuh pada tahun 2009 selepas setahun ia digunakan.

Sehingga kini ia masih belum boleh digunakan semula dan pihak yang bertanggungjawab terhadap runtuhan itu belum dihukum.

(Gambar: Stadium yang runtuh kerana urus tadbir yang tidak baik)

Selain stadium runtuh, beberapa bumbung masjid dan sekolah juga runtuh di Terengganu.

"Hatta hentian bas (Kuala Berang) pun runtuh di negeri ini," kata beliau.

Sehingga kini lebuhraya Pantai Timur yang menghubungkan Jabur di Kuantan dengan Kuala Terengganu juga belum berjaya disiapkan kononnya kerana kenaikan kos yang mendadak.

"Bagi saya apa yang salah kepada kerajaan negeri yang ada adalah mereka tidak fokus tentang apa yang diperlukan oleh rakyat sebenarnya.

"Mereka hanya bersenang lenang dengan wang Dana Khas melalui hasil minyak yang dikeluarkan dari bumi Terengganu," kata Wahid.

Wahid juga berkata, PAS telah mengenalpasti apa yang rakyat sangat perlukan dari kerajaan negeri iaitu sekolah agama dan kembalikan kolej agama untuk negeri.

"Kedua-duanya telah kita masukkan dalam manifesto kita untuk pilihan raya akan datang," katanya.

Dana Khas

Menurut beliau juga, kerajaan negeri Terengganu yang ada terlalu bergantung dengan wang Dana Khas dan tidak berusaha pun untuk mencari sumber yang lain.

"92 peratus dari bajet tahunan kerajaan negeri bergantung kepada Dana Khas. Hanya lapan peratus sahaja dari hasil lain. Ini sangat membimbangkan," kata Wahid.

Menurut beliau, semasa kerajaan negeri di bawah PAS (1999 - 2004) apabila royalti minyak dirampas oleh kerajaan Pusat, kerajaan negeri berjaya terus hidup dengan pendapatan yang ada.

"Walaupun kita tidak mampu membuat projek yang besar namun kita berjaya memberikan sesuatu kepada rakyat dengan jelas.

"Cukai pintu kita tidak ambil dari rakyat, kita tidak ada duit tetapi kita mampu bagi tanah kepada rakyat yang memerlukan.

"Untuk menampung kos perbelanjaan kerajaan negeri, kita naikkan cukai pembalakan yang sudah tentu bukan rakyat biasa yang susah kerananya," kata Wahid.

Sekarang ini, kata Wahid, jika Dana Khas tidak ada, kerajaan negeri yang ada tidak mampu untuk membayar gaji kakitangannya.

Ini kerana, 12 peratus dari bajet kerajaan negeri adalah untuk membayar gaji kakitangan, beritahu beliau.

Tiada ulasan: