Isnin, 9 Januari 2012

MB Selangor nasihat Hasan Ali letak jawatan secara sukarela

Sekretariat Akhbar Pejabat MB


Kerajaan Negeri menghormati keputusan PAS memecat Hasan Ali dan Menteri Besar telah mendapat nasihat daripada Pejabat Penasihat Undang-Undang Kerajaan Negeri berkenaan status Hasan sebagai Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor (EXCO).

Pejabat Penasihat Undang-Undang Kerajaan Negeri telah menasihatkan bahawa Menteri Besar mempunyai kuasa untuk menggugurkan Hasan (gambar kiri) sebagai ahli EXCO kerana beliau tidak lagi mewakili PAS dalam Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat.

Namun begitu, Menteri Besar menyeru supaya Hasan melepaskan jawatannya secara sukarela kerana adalah amat jelas beliau tidak lagi mewakili PAS.

"Saya berpendapat beliau sebagai seorang 'gengtleman' perlu melepaskan jawatan ahli Exco secara sukarela kerana ini adalah untuk kebaikan beliau sendiri dan mereka yang terlibat," kata Menteri Besar, Abdul Khalid Ibrahim (gambar kanan).

Pejabat Penasihat Undang-undang Negeri juga berpandangan bahawa meskipun perkenan DYMM Sultan Selangor diperlukan dalam pelantikan Ahli EXCO, namun perkenan DYMM Sultan tidak diperlukan untuk pelucutan atau pengguguran jawatan EXCO.

Menteri Besar akan mengadap DYMM Sultan Selangor pada Rabu ini untuk memberi taklimat kepada baginda berhubung perkembangan terbaharu dan berbincang dengan baginda mengenai calon-calon penganti yang sesuai bagi jawatan EXCO.

*Kenyataan media daripada Sekretariat Akhbar Pejabat Menteri Besar Selangor.

Tiada ulasan: