Selasa, 17 Januari 2012

Masalah Alam Perdana Selesai Tidak Lama Lagi

Oleh Naeem Raffi


KUALA SELANGOR : Seramai 2,500 pembeli rumah kos rendah di Taman Alam Perdana, Kuala Selangor akan mendapat unit-unit masing-masing berserta Sijil Layak Menduduki (CF) tidak lama lagi.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, projek terbengkalai itu diberikan nafas baharu selepas Kerajaan Selangor mengambil alih tanah daripada pemaju untuk membolehkan kerja-kerja menyiapkan unit-unit rumah kos rendah itu dapat diteruskan.

"Kerajaan negeri membayar RM147 juta untuk mengambil alih tanah daripada pemaju LCBN. Pengambil alihan tanah ini adalah langkah terakhir selepas pemaju gagal mengadakan usaha-usaha untuk menyiapkan projek terbengkalai itu.

"Menteri Besar Pemerbadanan (MBI) memperuntukkan RM40 juta untuk memulihkan projek terbengkalai ini," kata Menteri Besar pada sesi dialog bersama pembeli di Kuala Selangor baharu-baharu ini.

Bagi 1,318 pembeli rumah teres berkembar dan rumah teres setingkat, mereka dijangka akan menerima unit masing-masing berserta CF pada Mac ini.

Manakala, bagi pembeli yang bermasalah dengan pihak bank, Kerajaan Negeri akan membantu dengan mengadakan perbincangan bersama bank untuk mengurangkan beban kewangan pembeli yang terbabit.

Tambah Abdul Khalid, anak syarikat kerajaan negeri, Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) diberi tanggungjawab menyiapkan projek terbengkalai itu.

Kerajaan Negeri akan memastikan kemudahan asas seperti bekalan air, sistem saliran, elektrik dan kemudahan lain disediakan.

Kerajaan Negeri juga akan meneruskan usaha menyelesaikan masalah 203 pembeli rumah teres berkembar Arcadia yang tidak boleh dipulihkan kerana alami kerosakan teruk.

Pihaknya juga sedang mengkaji beberapa pilihan termasuk merobohkan rumah-rumah berkenaan untuk dibina baru.

"Rumah-rumah ini tidak selamat untuk diduduki. Kita akan mengadakan perbincangan berasingan dengan pembeli rumah ini.

"Bagi 643 pembeli lot rumah banglo, mereka terpaksa menunggu lebih lama kerana usaha pengambilan tanah telah dibantah oleh LCBN dan Maybank Berhad dan perkara ini telahpun menjadi pertikaian mahkamah. Ini bermakna Kerajaan Negeri tiada pilihan selain menunggu keputusan mahkamah," kata Abdul Khalid.

Tiada ulasan: