Sabtu, 14 Januari 2012

Majoriti mudah cukup. Pembangkang masih diperlukan

Vikor Wong, Malaysia Chronicle


Ketua Umum PKR dan Ketua Pembangkang Parlimen Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini telah menyatakan pendirian Pakatan Rakyat (PR) bahawa sebuah kerajaan pusat PR akan berpuas hati dengan suatu majoriti mudah dalam parlimen, sambil mengingatkan bahawa kemenangan majoriti dua pertiga akan menyebabkan gabungan tersebut terlalu selesa dengan keddudukannya.

Kata Datuk Seri Anwar lagi, suatu majoriti yang mudah akan memastikan sebuah kerajaan pusat yang kuat, di samping mempunyai satu kumpulan pembangkang yang seimbang bagi membenarkan pemantauan (check and balance) yang lebih berkesan agar PR tidak akan menjadi seperti pentadbiran Barisan Nasional (BN) sekarang. Konsep perkongsian kuasa ataupun perseimbangan kuasa di antara kerajaan dan pembangkang akan memberikan lebih manfaat kepada rakyat jelata serta. Amalan tersebut bolehlah disebut sebagai kesuburan dan kematangan di dalam sistem demokrasi.

Pandangan Datuk Seri Anwar di dalam perkara ini perlulah diberi pujian kerana kenyataan beliau tersebut menunjukkan bahawa PR sememangnya telah mantap dan berpegang teguh kepada konsep demokrasi yang bercirikan perkongsian kuasa di antara kerajaan dan pembangkang. Kita juga amat bersetuju bahawa sesuatu majoriti dua pertiga atau lebih daripada itu akan menyebabkan parti memerintah itu menjadi terlalu selesa, terlalu berkuasa dan akhirnya akan juga mengakibatkan ketamakan kuasa, penyalahgunaan kedudukannya, penyelewengan, timbulnya politik berpuak-puak dan takut kehilangan kuasa.

Selain daripada itu, konsep yang diketengahkan oleh PR itu akan juga dapat membantu meningkatkan lagi hubungan di antara kerajaan dan pembangkang mengikut lunas-lunas profesional yang lebih menumpukan lebih perhatian terhadap pentadbiran negara daripada asyik berpolitik semata-mata.

Peranan sesebuah kerajaan

Kita semua telahpun mengetahui bahawa definasi dan peranan utama sesebuah kerajaan ialah untuk berkhidmat untuk rakyat dengan menyediakan kemudahan-kemudahan, memastikan keselamatan dan keselesaan rakyat jelata, memperuntukan bantuan kewangan kepada mereka yang memerlukan, memastikan kemajuan ekonomi, keharmonian dan perpaduan, memastikan hak-hak asasi kemanusiaan terpelihara, rakyat mendapat pendidikan dan pekerjaan yang sempurna dan sebagainya.

Dan pada masa yang sama pula, sesebuah kerajaan tidak seharusnya memandang para pengkritik dan mereka-mereka yang tidak menyetujui kerajaan tersebut sebagai musuh. Di dalam sesebuah negara demokrasi kebebasan mengkritik dan tentangan terhadap dasar-dasar kerajaan yang tertentu haruslah dibenarkan bagi memastikan kemajuan dan kematangan semua pihak dan tidak hanya berpihak ataupun asyik menguntungkan satu pihak dan kroni-kroni sahaja.

Selain daripada itu, bagi memastikan konsep demokrasi itu subur, kerajaan haruslah lebih menerima peranan yang dimainkan oleh ahli-ahli parlimen pembangkang dengan menyerap mereka ke jawatankuasa-jawatankuasa pilihan parlimen (parliamentary select committees) mengikut portfolio-portfolio yang berkepentingan bagi membantu memantau kementerian-kementerian dan agensi-agensi kerajaan.

Dengan konsep tersebut, kerajaan juga haruslah membenarkan penyaluran maklumat dan berita secara bebas dan adil tanpa sekatan ataupun sekatan-sekatan yang tertentu. Kebebasan maklumat dan media ini adalah perlu bagi memastikan agar rakyat jelata akan menerima segala bentuk maklumat-maklumat yang berkepentingan umum dan pada masa yang sama ianya juga dapat menghalang perbuatan-perbuatan dan penyelewengan yang bakal dilakukan oleh orang-orang yang berkuasa untuk faedah kroni-kroni ataupun hanya pemimpin-pemimpin yang tertentu sahaja yang dapat menikmati manfaat tersebut.

Peranan di pihak pembangkang

Di pihak pembangkang pula, iaitu ahli-ahli parlimen atau wakil-wakil rakyat bukan kerajaan juga haruslah diberikan ruang dan peruntukan yang mencukupi bagi membolehkan mereka memainkan peranan mereka dengan lebih berkesan dan bukannya membangkang hanya semata-mata kerana di pihak pembangkang; memantau segala jenis bentuk dan permasalahan yang sering diabaikan oleh kerajaan, jentera pentadbiran, perbelanjaan kerajaan, pengurusan kewangan dan peruntukan, projek-projek yang dilaksanakan atau sedang dirancang oleh kerajaan dan sebagainya

Selain daripada itu, wakil-wakil rakyat pembangkang juga tidak seharusnya dinafikan segala bentuk faedah-faedah seperti geran dan peruntukan kewangan untuk kawasan-kawasan yang diwakili oleh mereka, kerana mereka ini telah dipilih oleh rakyat melalui pilihanraya dan oleh itu hak rakyat hendaklah dihormati dengan sewajarnya.

Dengan menafikan hak wakil-wakil rakyat untuk mendapatkan geran dan peruntukan kewangan dan sebaliknya melantik para penyelaras-penyelaras kawasan (selalunya terdiri daripada calon-calon pihak parti kerajaan yang tewas dalam pilihanraya), mendapatkan elaun dan gaji setaraf dengan wakil-wakil rakyat yang sah, bermakna demokrasi dan hak rakyat yang mengundi dan memilih wakil rakyat mereka juga telah dinafikan.

Untuk memantapkan lagi peranan pihak pembangkang, wakil-wakil rakyat pembangkang juga harus mempunyai satu barisan kabinet bayangan bagi memantau rakan sejawat mereka di kabinet kerajaan mengikut portflio-portfolio setiap kementerian dan agensi-agensi kerajaan yang berkepentingan umum. Bagi wakil-wakil rakyat yang tidak menganggotai kabinet bayangan perlu memainkan peranan mereka secara aktif di dalam jawatankuasa-jawatankuasa pilihan parlimen (parliamentary select committees) yang akan bertanggungjawab secara langsung menganjurkan seesi pemantauan, penyiasatan dan soal-jawab dengan ketua-ketua kementerian, jabatan dan agensi kerajaan, mengkaji laporan audit tahunan bagi memastikan profesionalisme dan kecekapan di dalam pentadbiran kerajaan yang berkesan.

Kita tengoklah contoh-contoh seperti di Amerika Syarikat, Great Britain, Australia, Kanada, New Zealand, Perancis, Jerman, Sweden dan Denmark, di mana kesemua kerajaan di negara-negara tersebut telah memberikan ruang dan kemudahan yang mencukupi, seperti peyelidikan, peruntukan kewangan, elaun tambahan bagi memenuhi keperluan pihak pembangkang untuk memainkan peranan mereka dengan lebih berkesan di dalam parlimen dan dewan-dewan negeri sewaktu bersidang dan perbahasan sesuatu dasar.

Dan sudah pasti kerajaan di negara-negara tersebut tidak menggunakan kaedah-kaedah yang berunsurkan perkauman dan ancaman untuk memerangi wakil-wakil daripada parti-parti pembangkang.

Sebagai makluman, pengambilan contoh negara-negara tersebut tidak seharusnya disalahtafsirkan oleh mana kritik dengan mendakwa cadangan tersebut bagaikan ikutan cara-cara barat. Sebenarnya ianya bukan ikutan unsur-unsur barat, tetapi ini adalah disebut modenisasi, sesuatu yang boleh juga ditafsirkan sebagai arus perubahan yang berterusan, Kaizen dan sebagainya.

Mampukah BN menerima hakikat?

Sekiranya wakil-wakil rakyat atau ahli-ahli parlimen ini diberikan ruang, saluran, peruntukan dan kemudahan yang selaras bagi memainkan peranan mereka dengan lebih berkesan, ianya tidak akan lagi melibatkan soal politik wang, suapan ataupun pembelian undi, tetapi akan lebih menitikberatkan soal mutu perkhidmatan, pentadbiran dan cara belanjawan dilaksanakan. Maka dengan ini, akan tidak ada lagi pembelian undi, suapan, akan tidak ada lagi kata-kata manis seperti “you help me, I help you” sewaktu pilihanraya umum.

Jika sekiranya kerajaan BN masih enggan menerima hakikat bagaimana cara dan proses demokrasi itu berinteraksi, maka terpaksalah kita beralih kepada gabungan PR pula bagi memastikan agar kemajuan berterusan negara kita ini tidak terbantut. Malaysia Chronicle

Tiada ulasan: