Selasa, 17 Januari 2012

Khalid: TNB Perlu Perjelas Status Bina Kabel di Cheras

Oleh Hafizan Taib


SHAH ALAM : Kerajaan Negeri akan mengadakan perjumpaan dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB) pada Khamis ini bagi mendapatkan kata putus berhubung projek pembinaan kabel berkuasa tinggi di kawasan Cheras di Kuala Lumpur.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata pihaknya berharap satu keputusan akan dicapai menerusi perjumpaan itu supaya projek tersebut dapat diteruskan selepas beberapa siri perbincangan sebelum ini.

Menurutnya, TNB harus memberikan satu keputusan mengenai projek itu yang tidak membelakangkan kepentingan penduduk setempat.

"Minggu ini kita akan jemput pada hari Khamis pihak TNB untuk menjelaskan pendirian mereka," katanya dalam sidang media selepas majlis perhimpunan bulanan Kerajaan Negeri Selangor di sini semalam.

Abdul Khalid berkata, difahamkan TNB telah membuat keputusan berbeza dari yang dipersetujui selepas mengadakan perbincangan dengan penduduk, Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di kawasan tersebut.

"Saya ingin jelaskan Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) telah mengadakan beberapa perbincangan. Ia lebih kurang enam bulan dibincangkan dan kita telah meminta TNB membuat inisiatif untuk beberapa kajian tetapi hasil daripada kajian tersebut TNB bersetuju tentang jajaran yang telah kita setujui iaitu melalui bukit juga memasuki hutan simpan supaya tidak melibatkan rumah-rumah.

"Saya difahamkan bahawa hasil daripada perbincangan penduduk, Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri di kawasan tersebut mereka mengatakan TNB bersetuju pula untuk jajaran D (di kawasan lain). Kita akan panggil TNB betul atau tidak? Kalau betul mengapa dia.....dulu dia setuju situ tetapi kenapa (sekarang) dia setuju sini," katanya.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri berpendirian jelas iaitu projek tersebut dijalankan bagi menyalurkan bekalan tenaga elektrik mencukupi bagi kawasan di Lembah Klang.

Katanya, pihaknya tiada mempunyai kepentingan lain tetapi hanya berkepentingan dari segi pelaksanaannya sahaja.

Projek pembinaan kabel berkuasa tinggi oleh TNB di sekitar Cheras mendapat bantahan kira-kira 500 penduduk di kawasan berhampiran iaitu Cheras Hartamas dan Taman Bukit Segar Jaya dalam pentadbiran Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ).

Projek tersebut dibekukan sejak Oktober tahun lalu selepas Abdul Khalid mengarahkan TNB berunding dengan penduduk terlebih dulu.

Tiada ulasan: