Khamis, 5 Januari 2012

Khairy diperintah beri keterangan kes saman

UTUSAN ONLINE


KUALA LUMPUR - Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin diperintahkan memberi keterangan dalam kes saman fitnah bekas Timbalan Pengerusi New Straits Times Press Bhd. (NSTP), Datuk Seri Kalimullah Masheerul Hassan terhadap peguam, Matthias Chang Wen Chieh.

Ia berikutan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi di sini, Datuk Asmabi Mohamad hari ini yang menolak permohonan Khairy untuk mengetepikan sapina supaya beliau memberikan keterangan dalam kes saman tersebut.

Hakim Asmabi membuat keputusan tersebut selepas selesai mendengar hujahan oleh peguam, Rashid Ismail yang mewakili Khairy serta peguam, Datuk R.K. Nathan yang mewakili Matthias.

Beliau turut memerintahkan Ahli Parlimen Rembau itu membayar kos RM3,000 kepada Matthias.

Pada 27 Disember lalu, Hakim Asmabi memutuskan bekas Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop tidak perlu memberi keterangan dalam kes saman yang sama.

Sementara pada 2 Disember lalu, mahkamah membenarkan permohonan pengasas Limkokwing University of Creative Technology, Tan Sri Lim Kok Wing mengetepikan sapina terhadapnya bagi kes tersebut.

Bagaimanapun, bekas pengarah South Peninsular Industries Bhd., Tan Sri Azman Hashim pula akan memberi keterangan setelah beliau menarik balik permohonannya untuk mengetepikan sapina berkenaan.

Keempat-empat mereka dan beberapa kakitangan Suruhanjaya Sekuriti (SC) telah disapina sebagai saksi kepada Matthias dalam perbicaraan kes saman tersebut yang dijadualkan bersambung pada 10 Januari ini.

Pada 29 Jun 2006, Kalimullah memfailkan saman terhadap Matthias kerana didakwa mengeluarkan kenyataan fitnah terhadapnya pada satu sidang akhbar yang beritanya disiarkan oleh akhbar Singapore Straits Times melalui wakilnya di Malaysia, Leslie Lau.

Pemohon meminta bayaran ganti rugi RM50 juta, kos, faedah dan injunksi bagi menghalang Matthias daripada menerbitkan lagi kata-kata yang sama.

Kalimullah antara lain dalam samannya itu mendakwa, kata-kata yang tersiar dalam berita tersebut membawa maksud beliau seorang yang tidak jujur, tanpa kredibiliti, tidak boleh dipercayai, berperangai buruk dan pengkhianat kepada rakyat Malaysia.

Matthias yang pernah menjadi Setiausaha Politik kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad juga telah mengemukakan saman balas terhadap Kalimullah pada 14 Julai 2006, yang antara lain menuntut ganti rugi sebanyak RM150 juta.

Tiada ulasan: