Rabu, 4 Januari 2012

Keyakinan perniagaan global 2012 rapuh

FREE MALAYSIA TODAY

Dengan prospek ekonomi global yang dipengaruhi krisis di zon euro, kebimbangan semakin meningkat, pertumbuhan perniagaan menjadi lebih sukar dari 2011.


KUALA LUMPUR: Keyakinan perniagaan global menuju 2012 rapuh dan dalam serba sukar, demikian menurut angka yang terkandung dalam Laporan Perniagaan Antarabangsa (IBR), kajian perniagaan tersenarai dan milik persendirian, yang dikeluarkan oleh Grant Thornton.

Dengan prospek ekonomi global yang dipengaruhi oleh krisis di zon euro, kebimbangan semakin meningkat bahawa pertumbuhan perniagaan akan menjadi lebih sukar dari 2011.

Penyelidikan terkini, yang diperoleh daripada temu bual dengan 2,800 perniagaan di seluruh dunia dan dijalankan pada November/Disember, mendedahkan bahawa keyakinan perniagaan global pada suku keempat 2011 pada sifar bersih peratus.

Dengan kedudukan di bahagian bawah carta keyakinan, tahap keyakinan telah menurun daripada +56 peratus kepada -4 peratus.

Perniagaan di Malaysia kurang optimistik mengenai ekonomi tahun ini, kata laporan berkenaan.

Negara jiran juga tidak optimis. Singapura melaporkan tahap optimis -4 peratus, sedangkan Thailand mengalami satu tamparan yang besar selepas banjir besar-besaran yang menjejaskan kilang-kilang elektronik dan kereta, pada -52 peratus.

“Menuju tahun 2012, kami melihat polarisasi keyakinan perniagaan antara Eropah dan seluruh dunia.

Ketidakpastian

“Bagaimanapun, ancaman keseluruhan kelembapan dalam zon euro bererti pemimpin perniagaan kekal tidak pasti mengenai tahun mendatang, mereka tidak tahu bagaimana keadaan akan berubah. Ketidakpastian berkenaan mempengaruhi prospek pertumbuhan perniagaan.

“Penggubal dasar di Eropah mempunyai tugas yang perlu dilaksanakan pada 2012,” kata Pengarah Urusan SJ Grant Thornton, Datuk N.K. Jasani dalam satu kenyataan hari ini.

Jauh dari kesuraman ekonomi, hasil dari Amerika Syarikat menyediakan sinar harapan dalam penyelidikan.

Jangkaan peningkatan hasil dan keuntungan dalam ekonomi terbesar dunia pada 2012, kedua-dua sebanyak tujuh mata peratusan, masing-masing pada 48 peratus dan 40 peratus.

Selain itu, 35 peratus perniagaan AS merancang untuk mengambil pekerja dalam masa 12 bulan akan datang, meningkat daripada hanya 17 peratus pada suku ketiga.

“Di seluruh dunia, prospek pertumbuhan adalah bercampur-campur. Perniagaan perlu bekerja lebih kuat daripada yang pernah dilakukan untuk mengekalkan margin dan daya saing dalam menghadapi gelombang ekonomi yang kuat,” katanya.

Beliau berkata kebimbangan bagi perniagaan ialah tumpuan kepada penjimatan daripada pertumbuhan ekonomi merosakkan prospek pertumbuhan mereka sendiri.

“Sudah tentu, penyelesaian krisis dan menjamin masa depan euro menjadi perkara utama dalam senarai hasrat tahun baru mereka,” katanya. Bernama

Tiada ulasan: