Rabu, 18 Januari 2012

Kenyataan Media: Dr Ahmad Yunus dilantik Exco Kerajaan Selangor

KEADILAN DAILY


Kerajaan Negeri Selangor menjunjung kasih kepada DYMM Sultan Selangor kerana telah berkenan menyempurnakan Istiadat Pelantikan Dan Angkat Sumpah YB Dr Ahmad Yunus Bin Hairi sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor (Exco) yang baharu.

Kami percaya YB Dr Ahmad Yunus ADUN Sijangkang boleh menjalankan tugas dengan amanah, telus dan bertanggungjawab. Latar belakang beliau sebagai doktor perubatan telah banyak memberi khidmat kepada rakyat, boleh membantu beliau menjalankan tugas sebagai Ahli MMKN secara efisyen dan profesional.

Pelantikan baharu ini turut melibatkan rombakan kecil dari segi portfolio di mana Dr Ahmad Yunus akan bertanggungjawab terhadap Portfolio Adat Resam Melayu dan Belia dan Sukan. Manakala Portfolio Hal Ehwal Islam, Infrastruktur dan Kemudahan Awam kini dipegang oleh Dato’ Menteri Besar.

Rombakan yang berkuatkuasa hari ini dilakukan bagi memastikan kesinambungan kerja dan perkhidmatan kepada rakyat dapat berjalan dengan lancar – tambahan pula Dr Ahmad Yunus sebelum ini adalah EXCO pembantu untuk portfolio Belia dan Sukan.

Saya juga sukacita mengumumkan bahawa ADUN Meru, YB Dr Abd Rani bin Osman dilantik sebagai Pengerusi Skim Mikro Kredit Miskin Luar Bandar (SKIMSEL).

Manakala ADUN Bandar Baru Bangi, YB Dr Shafie Abu Bakar dilantik sebagai Pengerusi Perbadanan Adat Istiadat Melayu (PADAT); kedua-dua jawatan ini sebelumnya di sandang oleh YB Dato Dr Hasan Ali.

Dalam perkembangan berkaitan, saya ingin menyatakan bahawa saya ada menerima surat daripada YB Dato’ Dr Hasan Ali yang berpendapat bahawa pelantikan ini mungkin terlalu awal (premature) kerana beliau masih mempunyai ruang untuk merayu kepada Majlis Syura Pas.

Saya telah menjawab surat tersebut dengan menyatakan keputusan saya menggugurkan beliau adalah lanjutan dari keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Pas Pusat pada 8 Januari 2012 yang melucutkan beliau sebagai ahli Pas.

Surat dari Jawatankuasa Pas bertarikh 10 Januari 2012 telah mengesahkan keputusan pemecatan beliau berkuatkuasa serta merta dan isu rayuan tidak dinyatakan dalam surat berkenaan.

Proses rayuan adalah amalan yang dipraktikkan oleh Pas sebagai sebuah parti politik dan saya percaya ianya tidak bermaksud memberi sebarang prasangka kepada kelangsungan pentadbiran Kerajaan Negeri.

Saya berharap Dr Hasan menerima keputusan ini dengan berlapang dada dan mengambil kesempatan mengucapkan terima kasih di atas peranan yang beliau laksanakan ketika berkhidmat sebagai ahli MMKN.

Akhirnya, Kerajaan Negeri amat menghargai segala nasihat dan pandangan yang diberikan DYMM Sultan Selangor dalam mengendalikan isu yang melibatkan pelantikan Ahli MMKN ini.

Saya berharap dengan sempurnanya pelantikan ini akan menguatkan lagi barisan pimpinan negeri Selangor dalam melaksanakan reformasi pentadbiran dan pengurusan negeri.

TAN SRI DATO’ SERI ABDUL KHALID IBRAHIM

DATO’ MENTERI BESAR SELANGOR

Tiada ulasan: