Jumaat, 20 Januari 2012

Kementerian: RM9b jumlah kos LCS dalam dua RMK

Kementerian Pertahanan hari ini menjelaskan bahawa kos pembelian kapal tempur pesisir pantai (LCS) telah meningkat sebanyak RM3 bilion daripada RM6 bilion kerana ia adalah jumlah sebutan sebenar untuk pembinaan kapal-kapal tersebut oleh Boustead Naval Shipyard, tetapi diperuntukkan dalam dua Rancangan Malaysia (RMK).

Kementerian itu telah menjemput ahli parlimen pembangkang dan wakil Kelab Penyokong Kerajaan BN untuk menghadiri taklimat oleh Tentera Laut Diraja Malaysia dan Ketua Setiausaha kementerian berkenaan, Datuk Ismail Ahmad di kementerian itu hari ini.

Ahli parlimen PKR Machang, Saifuddin Nasution memberitahu pemberita bahawa kekeliruan itu berlaku kerana penjelasan menteri (di Parlimen) tidak menyatakan bahawa ia diperuntukkan dalam dua RMK.

Katanya, ketua setiausaha kementerian berkenaan berkata RM3 bilion itu juga untuk kos pembinaan kapal-kapal tersebut tetapi dimasukkan di bawah RMK-11 , dan ini juga telah diterangkan dalam surat hasrat oleh kementerian kepada Boustead.

Isu itu dibangkitkan semasa perbahasan Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) di Parlimen, apabila Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyatakan bahawa RM6 bilion diperuntukkan bagi pembelian 6 LCS.

Bagaimanapun pembangkang membangkitkan perkara itu apabila Boustead dalam satu kenyataan kepada Bursa Malaysia memetik harga siling sebanyak RM9 bilion bagi enam unit LCS tersebut.

Dana untuk RMK-10 telah diperuntukkan bagi tempoh lima tahun, dari 2011 hingga 2015.

Ahli parlimen DAP Petaling Jaya Utara, Tony Pua kemudian berkata enam kapal tersebut berharga 870 peratus lebih berbanding dengan pembelian yang serupa oleh negara-negara lain, dan menuntut menteri berkenaan menjelaskan perbezaan yang besar itu.

Ditanya jika mereka diberi pecahan tentang pembelian RM9 bilion itu, Pua berkata para pegawai kementerian berkenaan tidak menyatakannya secara khusus.

Menurutnya, mereka membuat pembentangan selama 30 minit dan 90 minit lagi untuk sesi soal jawab.

"Terpulanglah kepada anda untuk membuat keputusan," katanya ketika ditanya sama ada pembangkang berpuas hati.

Ahli parlimen PAS Kuala Selangor, Dzulkefly Ahmad pula menambah forum seumpama itu harus digalakkan kerana ia memberikan pembangkang peluang untuk mendapatkan penjelasan.

"Apabila Bernama melaporkan pada bulan Februari 2011 bahawa harga siling ialah RM6 bilion dan pada bulan Disember ia melaporkan RM9 bilion, maka kita membangkitkan perkara itu supaya kerajaan bertanggungjawab.

"Hari ini, kami mencadangkan penubuhan sebuah jawatankuasa pengawasan Parlimen, dan idea itu tidak ditolak.

"Mereka (kerajaan) berkata akan mempertimbangkan cadangan itu dan Kelab Penyokong Kerajaan BN juga memberi isyarat yang positif, kementerian pula berkata ia serahkan kepada Parlimen untuk membuat keputusan," katanya.

Dzulkefly diharapkan "amalan semak dan imbang" akan diperkukuh berikutan perjumpaan tersebut.

Malaysiakini serta wartawan dari portal berita talian yang lain telah tidak dibenarkan oleh pegawai kementerian berkenaan untuk menghadiri sidang media.

Pegawai perhubungan awam kementerian berkenaan, Haslinda Rahim berkata, media pembangkang tidak dibenarkan masuk, hanya untuk media arus perdana sahaja.

Tiada ulasan: