Rabu, 18 Januari 2012

Jual rumah RMR kaut untung segera

Kementerian Perumahan akan menyiasat perkara ini bagi menentukan tindakan yang akan diambil terhadap mereka yang berkenaan.



KUCHING: Kementerian Perumahan mengesan terdapat sepuluh kes pemilik Rumah Mesra Rakyat (RMR) di Jalan Bako, di sini bertindak menjual rumah berkenaan kepada pihak lain demi hendak mengaut keuntungan segera.

Menterinya, Datuk Amar Abang Haji Johari Tun Abang Haji Openg berkata, tindakan seperti itu dilihat sebagai tidak adil bagi pemohon yang benar-benar memerlukan kemudahan berkenaan.

Beliau berkata, pihaknya memandang serius perkara itu dan melakukan siasatan terperinci sama ada hal sama turut berlaku di kawasan projek RMR lain di negeri ini.

“Sepuluh daripada 150 buah RMR di Bako dilaporkan telah dijual oleh pemilik asal. Justeru, kementerian akan menyiasat perkara ini bagi menentukan tindakan yang akan diambil terhadap mereka yang berkenaan.

“Tindakan ini dilihat tidak adil kepada pemohon lain yang tidak berjaya sedangkan mereka ini mungkin sangat memerlukan kemudahan rumah,” katanya.

Beliau berkata ketika ditemui pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Setinggan Negeri di Wisma Bapa Malaysia, Petra Jaya di sini semalam.

Turut hadir, Menteri Muda Perancangan Sumber Datuk Haji Mohd Naroden Majais, Menteri Muda Perumahan Haji Abdul Karim Rahman Hamzah dan Setiausaha Tetap Perancangan Sumber Datu Sudarsono Osman.

Johari yang juga Menteri Pelancongan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Satok itu memberitahu, harga pasaran RMR di Bako boleh mencecah sehingga RM200,000 hingga RM240,000 seunit.

Setinggan sifar

Sementara itu, kerajaan negeri mensasar untuk mencapai setinggan sifar di Sarawak menjelang tahun 2020.

Menurutnya, sejumlah 8,700 setinggan di negeri ini dengan Miri mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 4,000 buah, Bintulu (1,800) dan Kuching (1,400).

“Terdapat kes penghuni sanggup duduk di kawasan setinggan sedangkan mereka mempunyai rumah sendiri tetapi disewakan kepada orang lain,” katanya sambil menyifatkan golongan itu sebagai ‘tauke setinggan’.

Apabila operasi meroboh kawasan setinggan dilakukan golongan itu mendakwa kerajaan bertindak kejam serta membawa bersama pembangkang untuk menghentam kerajaan, tegas Abang Johari.

Tiada ulasan: