Selasa, 31 Januari 2012

Jika Najib takut menentang rasuah, NKRA dan GTPnya hanya jadi mimpi ngeri

Roketkini.com

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak patut melupakan sahaja Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) untuk memerangi rasuah jika beliau tidak berani melaksanakan tindakan tegas terhadap salah guna kuasa yang sedang berlaku.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata, Perdana Menteri sepatutnya berani mengarahkan menteri-menteri dan timbalan-timbalan menterinya untuk mengisytiharkan harta mereka secara terbuka.

Katanya, NKRA yang sepatutnya memerangi rasuah yang dijuarai Najib nampaknya bermasalah ekoran daripada keengganan menteri-menteri dan timbalan-timbalan menteri untuk mengisytiharkan harta mereka secara terbuka.

Bukti ketidaktelusan pentadbiran Najib jelas apabila Timbalan Menteri dalam Jabatan Perdana Menteri VK Liew yang bukan sahaja menolak pengisytiharan harta tetapi mempersoalkan pula ahli-ahli Exco kerajaan negeri Pakatan Rakyat Pulau Pinang yang mengisytiharkan harta mereka secara terbuka.

“Tidakkah pemimpin-pemimpin BN berasa malu kerana kerajaan negeri PR Pulau Pinang telah berjaya melakukan demikian selepas 4 tahun walhal BN telah gagal selepas 55 tahun?

“Pengisytiharan harta ahli-ahli Exco Pulau Pinang merangkumi juga aset dan liabiliti mereka pada 8 Mac 2008 dan setakat 31.12.2011. Tambahan pula, pengisytiharan harta kita dibuat secara terbuka, dimuat naik ke dalam Internet dan telah disahkan oleh sebuah firma audit dan akauntan bebas, KPMG,” kata Ketua Menteri Pulau Pinang itu dalam satu kenyataan hari ini.

Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan berkata, Najib juga tidak perlu takut untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi menyiasat skandal RM250 juta “lembu dan kondo” serta menyiasat kes wang haram berjumlah RM1,077 bilion (termasuk wang rasuah) yang telah dialirkan keluar daripada negara dari tahun 2000-2009.

Menurutnya, kegagalan Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM), walau pun diberi bajet tahunan sebanyak lebih RM200 juta sejak 2011, hanya mampu menangani penyalahgunaan kuasa di kalangan pegawai-pegawai sahaja.

Beliau menambah, selain daripada dakwaan rasuah, dua kes kematian telah terjadi dalam kawasan SPRM, iaitu Teoh Beng Hock pada Julai 2009 dan pegawai kanan Kastam Ahmad Sarbaini Mohamed pada April 2011.

Parlimen telah memperuntukkan bajet RM202.2 juta untuk SPRM pada tahun 2011 dan hasilnya adalah kedudukan CPI terendah untuk negara kita iaitu tangga ke-60 dan juga kadar CPI terendah iaitu 4.3.

Pada tahun 1996, Parlimen telah memperuntukkan bajet RM29.4 juta untuk Badan Pencegah Rasuah (BPR) dan pada tahun itu Malaysia menduduki tangga ke-26 dan mencapai CPI tertinggi dalam 17 tahun iaitu 5.32.

Menurut Guan Eng, rakyat Malaysia berhak untuk membandingkan bajet yang diberi kepada BPR pada tahun 1996 dan SPRM pada tahun 2011, dengan CPI Malaysia pada kedua-dua tahun ini.

“Walau pun SPRM diberi bajet hampir 7 kali ganda apa yang diberi pada tahun 1996, kenapakah CPI Malaysia pada tahun 2011 mendapat kedudukan yang paling rendah iaitu tangga ke-60 dan kadar CPI 4.3 apabila pada tahun 1996 kita berada di kedudukan ke-26 dengan kadar 5.32?

“Nampaknya lagi besar bajet, lagi ramai staf dan lagi banyak sumber yang diberi kepada SPRM, lagi teruk keadaan rasuah di Malaysia. Ke manakah perginya lebihan sebanyak RM172.8 juta dalam bajet anti-rasuah pada tahun 2011 berbanding 1996?” soal beliau.

Yang lebih teruknya adalah keengganan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menubuhkan RCI mengenai skandal “lembu dan kondo” yang melibatkan keluarga seorang Menteri Kabinet dengan alasan lemah bahawa SPRM sedang menyiasat perkara ini, tambah Guan Eng.

Menurutnya, Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) diperlukan untuk menyiasat skandal “lembu dan kondo” ini kerana pihak umum sudah hilang kepercayaan dalam SPRM, seperti yang ditunjukkan oleh penurunan dalam kadar dan kedudukan Transparency International dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI).

“Jika Perdana Menteri tidak memberi SPRM kuasa pendakwaan bebas dan kebertanggungjawaban kepada Parlimen, menubuhkan RCI untuk skandal-skandal dan mewajibkan pengisyiharan harta secara terbuka, CPI Malaysia yang dikendalikan Transparency International akan terus merosot. – Roketkini.com



Tiada ulasan: