Sabtu, 28 Januari 2012

Jawatankuasa Pusat Pas Akan Bincang Hasrat Presiden Pas Tidak Bertanding PRU13



ANTARA POS.COM


SHAH ALAM: Jawatankuasa Pusat Pas akan membincangkan hasrat Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk tidak bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke 13 pada mesyuaratnya yang akan datang, kata Ketua Penerangan Pas Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Secara peribadi, beliau berkata Hadi harus bertanding dalam PRU selaku kedudukannya sebagai presiden PAS yang merupakan parti terbesar dalam gagasan Pakatan Rakyat.

Hadi telah banyak kali mengulangi hasratnya itu yang disampaikan sekali lagi dalam wawancara dengan Sinar Harian semalam dan kini masa sesuai untuk pimpinan Pas membincangkan perkara itu, kata Tuan Ibrahim kepada antarapos.

“Dalam 12 Februari ini akan ada mesyuarat. Kita akan pertimbangkan permohonan beliau dan sebenarnya beliau telah banyak kali juga mengatakan hasrat beliau untuk tidak bertanding, tetapi kali ini kita akan timbangkan dan yang tentunya beliau mesti bertanding sebagai Presiden parti.

“Mungkin hasrat beliau untuk tidak bertanding itu kerana beliau rasakan sudah lama, bagaimanapun parti akan menimbangkan, insyaallah,” katanya kepada Antarapos ketika dihubungi tadi.

Hadi adalah Ahli Parlimen Marang dan Adun Rhu di Terengganu. Dalam wawancara itu, beliau berkata jika di minta bertanding, beliau mahu bertanding hanya satu kerusi sahaja, iaitu parlimen atau DUN.

Hadi berkata masa sudah sampai pemimpin pelapis dalam Pas diberikan ruang secukupnya untuk tampil menggalas tanggungjawab meneruskan perjuangan parti.

Bagaimanapun beliau turut menolak desas-desus anaknya Mohammad Khalil Abdul Hadi, 30an, bakal dicalonkan untuk bertanding dalam PRU13.

“Biar dia jadi ahli biasa buat masa ini,” katanya.

Tiada ulasan: