Ahad, 29 Januari 2012

Ibrahim: Anwar memang selalu salahkan orang


MALAYSIA KINI

Kumpulan pendesak Melayu PERKASA hari ini menyelar Datuk Seri Anwar Ibrahim yang didakwa menyalahkan orang lain memutarbelitkan kenyataannya dalam isu berkaitan negara Israel yang dilaporkan media antarabangsa.

"Kami akan clarify (perkara ini) dalam sesi parlimen akan datang. Saya akan bangkitkan perkara ini jika dia berkata begitu.

"Dia menyalahkan orang lain kerana twist kenyataan dia. Tetapi kenyataan dia, semuanya dirakam. Saya tidak terkejut," kata Ibrahim dalam sidang media selepas Majlis Sambutan Tahun Baru Cina anjuran PERKASA di Kuala Lumpur hari ini.

Ibrahim menjawab soalan pemberita berhubung kenyataan Anwar yang dilapor berkata, pandangannya berhubung isu Israel dan Palestin diputar belit bagi menggambarkan beliau mengkhianati aspirasi rakyat Palestin.

Katanya, dalam wawancaranya dengan media antarabangsa Khamis lalu, beliau menegaskan kemahuan dan hak rakyat Palestin mesti dibela dan jika syarat itu dipenuhi maka wajar hak rakyat Israel juga dihormati.

Anwar berkata, pandangannya sejajar dengan prinsip PKR yang menjunjung keadilan sejagat dan tegas membela hak yang dizalimi, serta selari dengan resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Inisiatif Keamanan Arab berteraskan "Penyelesaian Dua Negara".

Malahan, katanya, dasar luar negara juga menekankan prinsip penyelesaian itu, sebagaimana diungkapkan menteri luar ketika perbahasan perhimpunan agung PBB ke-66 pada 27 September tahun lalu di New York.

Tiada ulasan: