Jumaat, 20 Januari 2012

Hutan Simpan Kekal Kemasul diceroboh?

Khairil Abdul Rahim,


BENTONG: Kerajaan Negeri Pahang digesa mendedahkan bagaimana boleh meluluskan lesen pengeluaran balak di Hutan Simpan Kekal Kemasul dekat sini sedangkan ia berstatus kawasan tadahan juga sumber air bagi daerah ini dan Bera.

Setiausaha Perhubungan PAS Pahang, Roslan Zainal berkata rakyat perlu tahu bagaimana khazanah alam itu boleh dimusnahkan dengan rakus sedangkan kesannya boleh menjadi malapetaka besar kepada generasi akan datang

“Berdasarkan aktiviti penggondolan yang boleh disaksikan dengan jelas, mustahil pihak berkuasa tidak tahu. Memang ada diletakkan nombor lesen kelulusan iaitu proses untuk menghalalkan pembalakan tapi siapa pula yang meluluskannya?

“Justeru PAS Pahang berharap Jabatan Hutan, Jabatan Alam Sekitar dan Pejabat Tanah dan Daerah Bentong tidak memejamkan mata terhadap aktiviti pembalakan dan penggondolan yang begitu rancak pada masa ini, sebelum berlaku malapetaka akibat kerakusan,” katanya ketika melawat sendiri kawasan berkenaan.

Turut mengiringi ialah Yang Dipertua PAS Bentong, Abdul Hamid Bahatim.

Balak-balak yang sudah ditebang dilonggokkan di tepi jalan utama dari Felda Kemasul ke Simpang Pelangai menghala ke jalan keluar menuju Karak dan Kuala Pilah di mana dapat disaksikan dengan jelas kawasan hutan yang telah digondolkan.

Sementara kebanyakan balak yang ditebang didapati bersaiz kecil, yang sepatutnya tidak dimusnahkan begitu awal.

Roslan berkata, lebih mendukacitakan kawasan tersebut terletak dalam Dewan Undangan Negeri Pelangai yang diwakili Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob tetapi yang peliknya tersergam papan tanda Hutan Simpan Kekal di situ.

“Kami mendapat aduan aktiviti pembalakan sudah berjalan kira-kira dua bulan dan lori yang membawa kayu balak keluar mengikut jalan kampung Chemomoi dan Felda Bukit Mendi termasuk pada waktu malam.

“Di sini terdapat Sungai Pertang dan Sungai Triang. Sejak beberapa bulan lalu penduduk telah mengadu air begitu keruh akibat pembalakan di kawasan ulunya.

“Namun yang lebih ditakuti ialah akan berlaku krisis bekalan air di sini, seperti yang berlaku kepada empangan Sungai Langat akibat aktiviti yang sama,” katanya.

Justeru bagi pihak PAS Pahang Roslan mahu pihak berkuasa diminta bertindak segera sebelum terlambat atau kehidupan generasi akan datang terus terancam menghadapi kepupusan sumber air.

Tiada ulasan: