Isnin, 30 Januari 2012

Hujahan Kickdefella pindah kes didengar 4 Mac

Harakahdaily,


KOTA BHARU: Mahkamah Tinggi Malaya Kota Bharu (1) hari ini menetapkan 4 Mac depan untuk pendengaran hujahan peguam-peguam berkaitan permohonan Syed Azidi Abdul Aziz @ kickdefella bagi memindahkan kes tersebut ke Mahkamah Tinggi Malaya Kuala Lumpur.

Permohonan tersebut akan didengar di hadapan Hakim Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim pada tarikh berkenaan setelah hakim mendapati suratcara dan afidavit-afidavit kesemua pihak telahpun difailkan.

Antara lain alasan yang diberikan oleh Syed Azidi bagi memindahkan kes tersebut ke Kuala Lumpur ialah kerana beliau khuatir dengan keselamatan beliau jika kes itu terus dibicarakan di Kota Bharu.

Sementara itu, permohonan peguam Datuk Husam Musa untuk mendapatkan satu perintah injunksi ke atas Syed Azidi dicabar oleh oleh para peguam Syed Azidi.

Permohonan injunksi itu bertujuan untuk menghalang Syed Azidi daripada terus menulis atau mengeluarkan sebarang kenyataan yang menyentuh mengenai Husam Musa.

Mahkamah kemudiannya menetapkan tarikh 11 Mac ini untuk peguam-peguam berhujahberkaitan dengan permohonan tersebut.

Pada prosiding hari ini, Husam diwakili oleh peguam Hisham Fauzi manakala Syed Azidi diwakili oleh Datuk Hafarizam Harun, Datuk Firuz Hussein Jamaludin dan Badrul Hishah Abdul Wahap.

Tiada ulasan: