Isnin, 23 Januari 2012

HIMPUN dedah cubaan murtad pelajar tahfiz

MALAYSIA CHRONICLE

Maahad berjaya halang lelaki berbasikal dekati penghuni


KEPALA BATAS- Jika sebelum ini gerakan memesongkan akidah umat Islam dikesan hanya tertumpu kepada ibu tunggal serta golongan memerlukan bantuan, kini usaha sama turut dikesan membabitkan pelajar maahad tahfiz.

Ketika mendedahkan perkara itu, Pengarah Sekretariat Himpunan Sejuta Umat (HIMPUN) Pulau Pinang, Mohd Hafiz Nordin, berkata gerakan itu dikesan berlaku di sebuah maahad tahfiz di bahagian Seberang Perai negeri ini, Oktober tahun lalu.

Katanya, usaha itu didalangi seorang lelaki dengan cara menaiki basikal serta berpakaian kemas biasanya menemui pelajar maahad tahfiz berkenaan secara senyap ketika mereka sedang bersukan atau beriadah.

“Lelaki terbabit bertanyakan pelbagai soalan mengenai kewangan pelajar terbabit, perjumpaan dilakukan tanpa pengetahuan maahad tahfiz berkenaan.

“Dia sempat bertemu pelajar sebanyak dua kali sebelum dihalang pihak pengurusan maahad tahfiz selepas menyedari terdapat usaha memesongkan akidah pelajar dilakukan lelaki berkenaan,” katanya ketika ditemui selepas sidang media penganjuran majlis HIMPUN peringkat Pulau Pinang di sini, semalam.

Hafiz berkata, kejadian itu perlu ditangani segera kerana cubaan pemesongan akidah dan memurtadkan umat Islam dilakukan terhadap pelajar maahad tahfiz.

“Mereka harus sedar terhadap undang-undang dan perlembagaan yang melarang penyebaran agama lain di kalangan orang Islam, tetapi mereka berani melanggarnya,” katanya yang enggan mendedahkan maahad tahfiz terbabit.

Sementara itu, Pengerusi HIMPUN, Mohd Azmi Abdul Hamid, berkata perhimpunan kali keempat itu akan diadakan di Dewan Pusat Budi Penyayang di sini, 28 Januari depan dan turut dihadiri bekas EXCO Selangor, Datuk Dr Hassan Ali, Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Abdullah Zaik Abdul Rahman, Mohd Hafiz dan Presiden Pertubuhan Penyebaran Islam Antarabangsa (IPSI), Kamarudin Abdullah.

“Dijangka seramai 3,500 akan menghadiri perhimpunan yang dianjurkan bagi meningkatkan kesedaran di kalangan masyarakat dan menyelamatkan akidah umat Islam daripada terpesong,” katanya.

Katanya, tujuan HIMPUN diadakan di Pulau Pinang untuk menegaskan bahawa negeri ini belum mempunyai enakmen khas melarang penyebaran agama lain kepada orang Islam selaras Perkara Empat Perlembagaan Persekutuan. BeritaHarian

Tiada ulasan: