Selasa, 10 Januari 2012

Gantung Adam Adli bermotif politik, zalim- Nurul Izzah

KEADILAN DAILY


KUALA LUMPUR : Tindakan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menggantung pengajian pemimpin mahasiswa, Adam Adli Abdul Halim bermotif politik dan zalim, kata Naib Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar.

Beliau merujuk keputusan USPI semalam menggantung pengajian Adam Adli selama tiga semester, di atas tuduhan mencemar nama baik universiti berkenaan.

“Tindakan menggantung pendidikan Adam Adli ini adalah tindakan yang opresif, bermotifkan politik yang zalim dan jelas menghalang mahasiswa dari menyuarakan pandangan mereka.

“Kalaupun suatu kesalahan telah dilakukan, tindakan yang diambil haruslah bersifat memberi pengajaran, bukannya membudayakan budaya ketakutan di kalangan orang muda,” kata beliau.

Menurut Izzah, mahasiswa dan anak muda wajib diberi ruang untuk berfikir secara kritikal dan menyatakan pendirian mereka.

Justeru itu katanya, jawatankuasa disiplin UPSI yang menjatuhkan hukuman ke atas Adam semalam disifatkan merendahkan maruah dan nama UPSI- yang mempunyai sejarah dengan kebangkitan semangat kebangsaan sejak sebelum merdeka lagi.

“Saya menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia agar kita bangkit dan pertahankan hak mahasiswa, kerana mahasiswa lah yang menjadi penyambung perjuangan kita demi Malaysia yang lebih baik,” tegas beliau.

Tiada ulasan: