Sabtu, 21 Januari 2012

DAP: Isytihar harta bukti telus

Sebagai langkah pertama hanya mereka yang memegang jawatan awam harus mengisytiharkan harta secara terbuka.



PETALING JAYA: DAP menggesa kerajaan Barisan Nasional (BN) mengambil pendekatan dwipartisan untuk menggalakkan ketelusan dan kebertanggungjawaban dalam Malaysia dengan mengisytiharkan harta mereka secara terbuka, kata Setiausaha Agungnya Lim Guan Eng.

Guan Eng, yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang berkata, walaupun pengisytiharan harta secara terbuka oleh menteri-menteri serta keluarga terdekat mungkin membahayakan bagi individu-individu tersebut, sebagai langkah pertama hanya mereka yang memegang jawatan awam harus mengisytiharkan harta secara terbuka.

“Demi kepentingan dwipartisan, DAP boleh terima sebagai permulaan jika hanya menteri-menteri, timbalan-timbalan menteri dan ahli-ahli majlis mesyuarat kerajaan negeri sahaja yang mengisytiharkan harta.

“Ahli keluarga mereka boleh dikecualikan. Sekadar mengisytiharkan kepada Perdana Menteri seorang atau pun kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sahaja adalah tidak memadai,” ujar beliau dalam satu kenyataan media hari ini.

Tegas beliau, “atas sebab ini, keengganan pihak SPRM untuk mengiktiraf prinsip pengisytiharan harta secara terbuka oleh para menteri, timbalan menteri dan ahli-ahli majlis mesyuarat kerajaan negeri perlu dikecam.

Utamakan negara

“Sesiapa yang berhasrat untuk menjadi pemimpin harus mengutamakan negara mereka dan harus rela untuk membahayakan diri sendiri daripada membahayakan Malaysia.

“Saya memahami kebimbangan Barisan Nasional (BN) bahawa pengisytiharan harta mungkin akan membahayakan penjawat-penjawat awam tersebut.

“Namun BN juga harus memahami kebimbangan umum bahawa kegagalan untuk mengisytiharkan harta mungkin akan membahayakan Malaysia,” terang beliau.

Oleh itu katanya, pengisytiharan harta secara terbuka oleh menteri-menteri, timbalan-timbalan menteri dan ahli-ahli majlis mesyuarat

kerajaan negeri adalah langkah pertama yang wajar untuk memastikan bahawa kepentingan umum akan terpelihara.

Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Pulau Pinang telah mencipta sejarah dengan menjadi anggota-anggota pentadbiran dipilih yang pertama di Malaysia untuk mengisytiharkan harta secara terbuka.

Maklumat mengenai pinjaman-pinjaman dan liabiliti-liabiliti Ahli-Ahli Exco telah didedahkan. Pendapatan mereka juga jelas diperolehi daripada satu sumber sahaja, iaitu elaun sebagai wakil rakyat dan badan-badan berkanun.

Semalam FMT melaporkan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Abdul Aziz bahawa pengisytiharan harta boleh mendatangkan bahaya kepada menteri-menteri dan anggota keluarga mereka.

Beliau berkata, jika kita mendedahkan butir-butir ini kepada orang awam, ini boleh mendatangkan bahaya kepada individu-individu berkenaan, terutama apabila didedahkan butir-butir peribadi.

Tiada ulasan: