Sabtu, 14 Januari 2012

Dana RM3j bantu peniaga di Kompleks PKNS

Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) mengumumkan dana bernilai RM3 juta bagi membantu peniaga di Kompleks PKNS di Shah Alam meningkatkan daya saing mereka.

Pengurus Besar PKNS Othman Omar berkata dana itu akan disalur menerusi Perbadanan Menteri Besar secara berperingkat kepada peniaga yang rugi dalam tempoh enam bulan lepas.

Beliau berkata pengurusan PKNS juga akan melaburkan hampir RM8 juta dalam usaha menambah baik kompleks itu, termasuk menyediakan sebuah gelanggang futsal di tingkat empat.

"PKNS telah membuat perancangan baru untuk Kompleks PKNS termasuk meningkatkan daya saing dan memberi nafas baru kepada 400 peniaga yang menyewa di dalam kompleks perniagaan itu," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Othman berkata apabila perancangan itu dilaksanakan, PKNS menjangka mampu menarik 30 peratus lebih ramai pengunjung ke kompleks berkenaan dan sekaligus meningkatkan pendapatan peniaga.

Pada 2011, lebih 10 juta orang mengunjungi kompleks itu dan melalui proses penambahbaikan, dianggarkan jumlah pengunjung akan meningkat kepada 13 juta tahun ini.

Othman berkata PKNS akan menimbang untuk mengadakan program usahawan seperti bengkel strategi pemasaran, penjenamaan dan asas perakaunan kepada semua peniaga di kompleks itu.

Katanya, PKNS juga komited mencari jalan penyelesaian terbaik dengan peniaga berhubung isu kenaikan sewa baru-baru ini.

Tiada ulasan: