Selasa, 17 Januari 2012

BN Abai Hak Rakyat Pulau Pinang

Oleh Hafizan Taib


SHAH ALAM - Ahli Parlimen Bukit Bendera, Liew Chin Tong menyelarkan Pengerusi Gerakan Pulau Pinang, Dr Teng Hock Nan dengan menyatakan pemimpin parti komponen Pakatan Rakyat perlu memahami akan tanggungjawab Kerajaan Persekutuan di dalam menjaga kepentingan rakyat di negara ini.

Menurutnya, tindakan Dr Teng menyerang Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang membuat kenyataan melalui media adalah tidak kena pada caranya.

Jelasnya, ia memberi gambaran bahawa Gerakan sebagai komponen BN hanya patuh dan mengikut telunjuk Umno sebagai parti utama dalam gabungan tersebut.

"Tindakan Dr Teng yang mengatakan Lim tidak menggunakan "saluran yang betul" bagi meminta Kerajaan Persekutuan menjayakan projek pembangunan adalah pada dasarnya mengakui rakyat berhak meminta Kerajaan Persekutuan melaksanakannya.

"Cara sebegini adalah cara Gerakan yang menimbulkan kemarahan rakyat hingga menyebabkan rakyat menolak BN di Pulau Pinang dalam Pilihanraya Umum ke 12 pada 2008 lalu," katanya dalam kenyataannya di sini hari ini.

Bernama hari ini melaporkan bahawa Dr Teng berkata jika Ketua Menteri mempunyai sebarang masalah dengan apa-apa projek, beliau harus menggunakan saluran yang betul untuk menangani dan tidak melalui media.

Liew seterusnya berkata, Dr Teng harus memahami Kerajaan Persekutuan sebagai pihak memungut cukai perlu menjalankan amanah dan tanggungjawab bagi pembangunan di semua negeri di Malaysia.

"Lim sebagai Ketua Menteri bercakap bagi pihak rakyat Pulau Pinang dan Kerajaan Persekutuan perlu menjalankan tanggungjawab bagi pembangunan di Pulau Pinang.

"Jika Kerajaan Persekutuan tidak bertindak selaras dengan kehendak rakyat dan Perlembagaan Persekutuan, demi masa depan Pulau Pinang dan rakyatnya, marilah kita menukar teraju kepimpinan di Putrajaya," katanya.

Beliau berkata, Gerakan dan BN juga berdusta berhubung penghapusan tol Sungai Nyior dengan merujuk kepada Kerajaan Negeri Pulau pinang ditadbir Pakatan Rakyat sedangkan kuasa menghapuskannya adalah di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan.

Malah bagi mengatasi masalah yang membebani rakyat, jelasnya, Kerajaan Negeri telah membina jalan alternatif sebagai pilihan.

"Hanya Kerajaan Persekutuan yang boleh menghapuskan bayaran tol. Mungkin pemimpin Gerakan lupa akan perkara itu. Lim telah berusaha bersungguh-sungguh bagi mengatasi masalah tol ini dan membantah pemberian konsesi tol kepada pihak swasta," ujarnya.

Liew juga menyokong cabaran Lim terhadap Tan Sri Nor Mohamed Yakcop untuk berdebat mengenai bagaimana cara untuk mengurangkan beban tol ke atas orang ramai.

Tambahnya, Kerajaan Persekutuan perlu memahami dalam keadaan ekonomi dunia yang tidak stabil, adalah penting untuk terus membangunkan ekonomi dalam negeri.

Cara terbaik, katanya untuk meningkatkan permintaan dalam negeri adalah dengan meningkatkan pendapatan di kalangan rakyat di negara ini.

Tiada ulasan: