Rabu, 11 Januari 2012

Bekas pemeriksa kilang hadapi 21 pertuduhan, suapan bernilai RM341,922



KUALA LUMPUR — Seorang bekas pemeriksa kilang BP Chemicals (Malaysia) Sdn. Bhd hari ini dihadapkan ke mahkamah atas 21 tuduhan menerima suapan, menerima wang hasil aktiviti haram dan melibatkan diri dalam pengubahan wang haram.

Tertuduh, Gauthaman A/L Thangaraju, 42 tahun, di hadapkan ke Mahkamah Sesyen 3 Melaka atas dakwaan menerima untuk dirinya suapan berjumlah RM 341,922 daripada pihak berkepentingan sebagai upah bagi membantu Syarikat Soo Min Inc. mendapatkan tawaran kerja-kerja membekal dan membaiki peralatan Bellows di BP Chemicals (M) Sdn Bhd.

Gauthaman, menghadapi sejumlah lapan pertuduhan bagi kesalahan ini, didapati telah berbuat demikian di Maybank Berhad Cawangan Melaka Main, Jalan Hang Tuah, Melaka Tengah, pada 3 Februari 2006, 10 Februari 2006, 18 Oktober 2006, 2 Februari 2007 dan 20 Januari 2007.

Perkara ini merupakan suatu kesalahan di bawah Seksyen 10 (a)(aa) Akta Pencegahan Rasuah (APR) 1997 serta Seksyen 16 (a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Sekiranya disabitkan bersalah, tertuduh boleh didenda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan dan dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua puluh tahun.

Selain itu, tertuduh juga menghadapi tujuh pertuduhan kerana telah melibatkan diri dalam pengubahan wang haram iaitu menerima sejumlah wang tunai hasil aktiviti haram sebanyak RM 65,050 serta sejumlah wang hasil aktiviti haram sebanyak RM 43,000 melalui cek tunai daripada pihak berkepentingan.

Perkara ini merupakan suatu kesalahan di bawah Subseksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLATFA).

Dia telah dituduh berbuat demikian di Malayan Banking Berhad Cawangan Melaka Main, Jalan Hang Tuah, Melaka Tengah, pada 3 Februari 2006, 10 Februari 2006, 18 Oktober 2006 dan 2 Februari 2007.

Seterusnya, tertuduh didakwa melibatkan diri dalam transaksi yang melibatkan hasil daripada aktiviti haram iaitu menerima wang berjumlah RM 95,258.90 daripada wang berjumlah RM 233,872 yang merupakan hasil aktiviti haram, daripada akaun peribadi HSBC milik isterinya, Selvi A/P Karupaiah.

Gauthaman telah dituduh berbuat demikian di Hong Kong Shanghai Bank Corporation (HSBC) Cawangan Melaka Main, Jalan Hang Tuah, Melaka Tengah, pada 20 Januari 2010.

Tertuduh turut didakwa menggunakan wang berjumlah RM 95,258.90 yang merupakan hasil aktiviti haram daripada akaun HSBC milik isterinya untuk membeli Draf Serahan HSBC di atas nama Kah Motor Co. Sdn. Bhd.

Tertuduh didapati telah melibatkan diri dalam pengubahan wang haram iaitu menggunakan sekeping Draf Serahan HSBC di atas nama Kah Motor Co. Sdn. Bhd. berjumlah RM 95,258.90 untuk membayar deposit pembelian sebuah kereta Honda Accord 2.4L I-VTEC(A), yang merupakan hasil aktiviti haram.

Dia telah dituduh berbuat demikian di HSBC Cawangan Melaka Main, Jalan Hang Tuah, Melaka Tengah, pada 16 Mac 2010 serta Kah Motor Co. Sdn. Bhd. pada 24 Mac 2010.

Perkara ini merupakan suatu kesalahan di bawah Subseksyen 4(1)(a) AMLATFA.

Selain itu, tertuduh juga didakwa telah melibatkan diri dalam transaksi yang melibatkan hasil daripada aktiviti haram iaitu dalam pemindahan wang berjumlah RM 233,872 daripada Akaun Simpanan HSBC milik P. Senthilkumaran A/L Paranthaman Naidu kepada akaun peribadi HSBC isterinya, dan pengeluaran wang tunai berjumlah RM 20,000 yang merupakan hasil aktiviti haram daripada akaun isterinya serta menggunakan wang tunai berjumlah RM17,092 untuk membeli polisi insurans hayat untuk Dashita A/P Gauthaman.

Tertuduh, yang menghadapi tiga pertuduhan bagi kesalahan ini, telah berbuat demikian di HSBC Cawangan Melaka pada 20 Januari 2010 dan juga Great Eastern Life Assurance (Malaysia) Berhad Cawangan Melaka pada 6 Mei 2010.

Perkara ini merupakan suatu kesalahan di bawah Subseksyen 4(1)(a) AMLATFA.

Sekiranya disabitkan bersalah, tertuduh boleh didenda tidak kurang daripada lima juta ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.

Tertuduh tidak mengaku salah terhadap semua pertuduhan dan minta untuk dibicarakan.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwaraya, Mohammed Heikal Bin Ismail dan Pegawai Pendakwaan, Mohd Sa'ad Bin Shukor daripada SPRM Melaka di hadapan Hakim Y.A Ahmad Sazali Bin Omar manakala tertuduh tidak diwakili oleh peguambela.

Hakim menetapkan wang jaminan sebanyak RM 50,000 dengan seorang penjamin bagi kesalahan di bawah AMLATFA dan wang jaminan sebanyak RM 50,000 dengan seorang penjamin bagi kesalahan di bawah Akta SPRM 2009 dan APR 1997.

Hakim juga mengenakan syarat tambahan iaitu pasport tertuduh diserahkan kepada pihak mahkamah serta menetapkan 10 Februari 2012 untuk sebutan semula kes bagi membenarkan tertuduh melantik peguambela.

Tiada ulasan: