Khamis, 19 Januari 2012

Bapa Saiful Terus Gesa Peguam Negara Batal Keputusan Pembebasan Anwar

Post Pic



KUALA LUMPUR : Bapa kepada Mohd. Saiful Bukhari, Azlan Mohd. Lazim, 58, sekali lagi merayu pihak Peguam Negara supaya segera bertindak mengemukakan rayuan demi keadilan anaknya.

Menurut beliau, ini kerana Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail sehingga kini seakan 'berdiam diri' daripada mengemukakan sebarang rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang melepas dan membebaskan Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada tuduhan meliwat anaknya, 9 Januari lalu.

Jelasnya, apa yang merisaukan, tempoh masa untuk memfailkan notis rayuan berkenaan cuma tinggal beberapa hari sahaja lagi.

''Saya sebagai bapa kepada Mohd. Saiful berharap Yang Berbahagia Tan Sri Peguam Negara (Abdul Gani) sebagai pendakwa raya dapat memfailkan notis rayuan ke atas keputusan Mahkamah Tinggi pada 9 Januari lepas.

''Saya juga merasa sedikit risau kerana sehingga hari ini tiada perkembangan berkenaan memfailkan rayuan tersebut. Saya percaya tempoh masanya hanya tinggal beberapa hari sahaja lagi.

''Bagaimanapun saya percaya Peguam Negara akan mengambil pertimbangan yang sewajarnya dalam memfailkan notis rayuan itu,'' katanya.

Beliau berkata demikian menerusi kenyataan yang disiarkan di blog Mohd. Saiful, http://mohdsaifulbukhari.blogspot.com.

Pada 11 Januari lalu, Azlan dalam satu sidang akhbar merayu Peguam Negara segera mengemukakan rayuan serta mengecam keras kenyataan Majlis Peguam yang menyarankan agar Abdul Gani tidak perlu memfailkan rayuan terhadap kes membabitkan anaknya itu.

Mengulas lanjut, Azlan berkata, pihaknya percaya hak anaknya sebagai seorang warganegara dan rakyat yang menjunjung Perlembagaan negara untuk melalui proses rayuan tidak akan dinafikan.

''Saya juga percaya bahawa hak untuk aduan anak saya diadili sehingga ke peringkat mahkamah yang tertinggi tidak akan diabaikan dan dinafikan oleh pihak Peguam Negara.

''Saya juga mohon pihak Peguam Negara agar tidak terpengaruh dengan desakan Majlis Peguam atau mana-mana pihak agar tidak mengemukakan rayuan,'' tegasnya.

Tiada ulasan: