Jumaat, 20 Januari 2012

Bapa Saiful risau tentang status rayuan liwat II


MALAYSIA KINI

Dengan dua hari lagi sebelum tempoh mengemukakan rayuan kes liwat II berakhir, bapa pengadu kes berkenaan, Azlan Md Lazim bimbang kerana tidak ada sebarang tanda-tanda bahawa Pejabat Peguam Negara akan memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang memutuskan Anwar Ibrahim tidak bersalah.

NONEDalam kenyataan akhbar yang disiarkan di blog anaknya, Mohd Saiful Bukhari Azlan, beliau menyatakan harapan agar Peguam Negara akan memberi kelulusan untuk memfailkan notis rayuan tidak lama lagi.

“Saya sebagai bapa kepada Mohd Saiful Bukhari bin Azlan berharap Tan Sri Peguam Negara sebagai pendakwa raya dapat memfailkan notis rayuan ke atas keputusan Mahkamah Tinggi pada 9hb Januari yang lepas

“Saya sebagai bapa merasa sedikit risau kerana sehingga ke hari ini tiada perkembangan berkenaan pemfailan rayuan tersebut oleh kerana saya percaya tempoh masa untuk memfailkan notis rayuan tersebut hanya tinggal beberapa hari sahaja lagi,” tulisnya.

Azlan menggesa kepada Peguam Negara agar hak beliau dan anaknya itu diadili sehingga ke peringkat Mahkamah Yang Tertinggi tidak akan diabaikan dan tidak dinafikan.

“Saya juga mohon pihak Peguam Negara agar tidak terpengaruh dengan desakan Majlis Peguam atau mana-mana pihak agar tidak mengemukakan rayuan,” tulisnya lagi.

azlanWalaupun dalam kenyataan akhbar itu, Azlan menyatakan hanya tinggal dua hari untuk membuat rayuan, fakta sebenar ialah pihak pendakwaan mempunyai tempoh sehingga Rabu depan, 25 Januari untuk memfailkan rayuan.

Ini adalah kerana hari Isnin dan Selasa adalah cuti umum sempena Tahun Baru Cina dan pihak pendakwaan diberi tempoh 14 hari jika berhasrat mengemukakan rayuan berhubung penghakiman berkenaan.

Sehingga hari ini, belum ada keputusan muktmad sama ada pejabat Peguam Negara akan membuat rayuan dalam kes liwat II yang penuh kontroversi itu.

NONESebelum ini, Peguam Cara Negara II, Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden (kiri) yang mengetuai perbicaraan kes itu berkata pihaknya telah mencadangkan supaya rayuan dibuat.

Ini kali kedua Azlan membuat rayuan - pada 11 Jan, dua hari selepas Anwar dibebaskan, beliau mengadakan sidang media di rumahnya menggesa pihak pendakwaan memfailkan rayuan bagi membela nama baik anaknya dan maruah keluarga mereka yang telah tercemar.

Sabtu lalu, Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail tidak menjawap soalan daripada wartawan apabila diajukan sama ada pejabatnya akan mengemukakan rayuan.

Tiada ulasan: