Sabtu, 14 Januari 2012

'Bantu tawan S'gor, kami selesaikan masalah anda'

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berjanji untuk meringankan masalah peniaga Melayu yang menyewa lot kedai di Kompleks PKNS di Shah Alam, jika BN mengambil alih kerajaan negeri itu dalam pilihan raya umum akan datang.

Katanya, tindakan kerajaan menaikkan sewa sebanyak 100 peratus adalah keterlaluan, walaupun sewa di situ adalah terendah daripada kompleks membeli-belah yang lain.

najibBeliau memberitahu mereka demikian sewaktu meninjau sekitar kompleks PKNS hari ini.

Katanya, mengenai cadangan mereka supaya kerajaan pusat mengambil alih kompleks tersebut, Najib berkata pihaknya perlu berbincang dengan kerajaan negeri, yang menurutnya, akan mengenakan sekatan yang ketat.

Oleh itu, tegas Najib, adalah lebih baik bagi BN mengambil alih kerajaan negeri Selangor.

"Saya berjanji bila BN ambil alih (kerajaan) negeri ini, kita akan mansuhkan kenaikan sewa," kata Najib disambut terpukan para peniaga.

Beliau para peniaga di situ bahawa mereka terpaksa mengharungi 'hari-hari gelap' di bawah kerajaan negeri Pakatan, tetapi berjanji akan membantu mereka.

"Melihat kepada kayu ubi, sayarasa ini adalah simbolik. Inilah yang kita makan sewaktu pendudukan Jepun.

"Sekarang anda terpaksa untuk makan ubi kayu, Kemudian kita akan makan nasi minyak," katanya membidas Pakatan sewaktu sesi minum bersama peniaga apabila beliau disajikan dengan hidangan ubi kayu.

Dalam tinjaun berikutnya - yang dilihat sebagai sebahagian daripada kempen BN untuk merampas semula Selangor yang kini ditadbir oleh Pakatan - Najib membuat lebih banyak lagi janji kepada penduduk Pangsapuri Rimba Jaya.

Beliau berjanji untuk memberi lebih peruntukan untuk membina sebuah surau, dan sebuah kuil Hindu di bekas kawasan setinggan.

Najib juga berkata beliau juga akan membantu mereka yang masih belum dapat pinjaman untuk membeli pangsapuri kos rendah yang dibina selepas kawasan setinggan itu dirobohkan.

Kempen tinjauan itu bermula pagi ini selepas Najib mengadakan perjumpaan dengan jentera pilihan raya negeri BN, yang merangkumi 800 mengundi dan ejen mengira. [Baca berita penuh]

Sementara itu, Bernama melaporkan, Najib berkata banyak masalah yang dihadapi oleh rakyat Selangor di bawah kerajaan negeri Pakatan akan dapat diselesaikan jika kerajaan BN mengambil alih negeri itu.

Perdana Menteri berkata selepas empat tahun mentadbir negeri Selangor sejak pilihan raya umum 2008, kerajaan negeri pimpinan Pakatan masih tidak menunaikan janji-janji mereka sehingga menyebabkan sesetengah pihak berasa kecewa.

Najib berkata demikian semasa berucap pada Program Sepetang Bersama Perdana Menteri di Pangsapuri Rimba Jaya di sini sempena lawatan beliau ke negeri Selangor di bawah Program Nurani Rakyat Sayangi Selangor Yakini BN, hari ini.

Beliau berkata antara masalah yang dihadapi oleh rakyat Selangor kini ialah masalah air, sampah sarap dan para peniaga kompleks Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) yang menghadapi cadangan kenaikan sewa ruang niaga yang mencecah sehingga 100 peratus.

Di majlis itu, Najib mengumumkan Kerajaan Persekutuan akan memberikan peruntukan bagi membina sebuah surau yang amat diperlukan oleh penduduk-penduduk di pangsapuri itu.

"Saya lihat pangsapuri Rimba Jaya memang memerlukan sebuah surau yang baru kerana saya telah dibawa berjemaah Asar petang tadi, tentu kawasan itu tak sesuai untuk kita terus kekalkan sebagai surau kawasan pangsapuri ini," katanya.

Buat masa ini penduduk menggunakan ruang tingkat bawah pangsapuri itu sebagai surau yang hanya boleh memuatkan antara 50 dan 60 jemaah pada sesuatu masa.

Selain itu, Najib berkata Kerajaan Persekutuan akan membiayai pembinaan sebuah kuil baru untuk masyarakat India di kawasan pangsapuri itu.

Bagaimanapun, Perdana Menteri tidak mengumumkan jumlah peruntukan yang akan diberikan untuk kedua-dua rumah ibadat itu.

Mengenai masalah sesetengah bekas penghuni setinggan Rimba Jaya dahulu yang tidak dapat berpindah semula ke pangsapuri ini, beliau meminta tempoh masa untuk mengkaji jalan penyelesaian kepada masalah itu.

Dalam ucapan aluannya di majlis itu, penyelaras BN bagi DUN Batu Tiga, Zulkarnain Osman berkata terdapat bekas penghuni setinggan itu yang tidak dapat berpindah ke unit yang disediakan untuk mereka di pangsapuri Rimba Jaya kerana tidak mendapat pinjaman bank.

Sementara itu, Najib turut melawat para peniaga di Kompleks PKNS selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Negeri tengah hari tadi.

Beliau turut dimaklumkan oleh para peniaga berkenaan bahawa Pakatan banyak menabur janji manis sebelum berkuasa dahulu tetapi setelah berkuasa mengenakan kenaikan sewa bulanan yang keterlaluan sehingga mencapai 100 peratus.

"Pengerusi Persatuan (Peniaga-peniaga Kompleks PKNS) tadi minta (Kerajaan Persekutuan) ambil alih Kompleks PKNS...kalau ambil alih
kerajaan negeri akan kenakan syarat yang menyusahkan.

"Adalah lebih baik jika BN mengambil alih semula kerajaan negeri kerana bukan sahaja masalah peniaga itu selesai tetapi masalah sampah sarap, air dan pangsapuri Rimba Jaya akan selesai," katanya.

Najib, yang telah melakukan lawatan sebanyak tiga kali ke Selangor bulan ini, turut mengucapkan terima kasih kepada para penduduk pangsapuri itu kerana memberikan sambutan hangat kepada lawatan beliau itu.

Tiada ulasan: