Khamis, 19 Januari 2012

Aset Pertahanan : Pembangkang Temui Zahid

Post Pic



PETALING JAYA : Pemimpin pembangkang akan mengadakan pertemuan khas dengan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamid bagi membincangkan mengenai pembelian aset-aset dalam inventori pertahanan negara.

Pembangkang akan diwakili Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua; Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Saifuddin Nasution Ismail dan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad.

Pertemuan tersebut akan diadakan di Wisma Pertahanan pada pukul 3 petang ini.

Antara perkara utama yang bakal dibangkitkan pembangkang menerusi pertemuan tersebut ialah mengenai dakwaan Pua yang juga Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara sebelum ini mengenai pembelian kapal rondaan pesisir pantai (LCS).

Pua sebelum ini mendakwa bahawa harga kapal LCS telah meningkat melambung kepada RM9 bilion daripada RM6 bilion sebaik sahaja tender pembinaan enam LCS diberi kepada Boustead Naval Shipyard (BNS).

Sebelum ini Ahmad Zahid pernah menafikan berlakunya penyelewengan terhadap pembelian mana-mana aset termasuk LCS dan beliau sedia menjawab segala persoalan dan tuduhan yang dibangkitkan pembangkang.

Beliau juga pernah mencabar Pua dan mana-mana pihak yang mempunyai bukti penyelewengan berhubung pembelian inventori pertahanan negara agar melaporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Pertemuan yang bakal diadakan petang ini juga atas pelawaan Ahmad Zahid Disember lalu.

Tiada ulasan: